Saturday, 7 September 2013

Semangat HADI

Hadi mencari sang ayah yang baru pulang dari kerja.

’’ Ayah penat tak?’’ tanya Hadi yang sangat menyayangi ayahnya.

Sambil memeluk Hadi, sang ayah tersenyum melihat anaknya. “ Hadi buat apa kat rumah? Tolong ibu tak di rumah? “

“ Hadi tolong sekejap je. Lepas tu Hadi pergi keluar ke hutan dan dapat panah dua ekor burung” jawab Hadi penuh sopan.

“ Wah, hebat anak ayah ni. Lepas ni ikut ayah pergi berguru silat ya ?’’ kata ayahnya. Sungguh anakku ada potensi untuk menjadi seorang perwira Islam terbilang, getus hati ayah.

Hadi mengangguk tanpa bantahan walhal hatinya sangat girang kerana berjaya meyakinkan ayahnya untuk belajar seni mempertahankan diri.
                              …………………………………………………………………

Setelah lima tahun berguru dengan Tuan Guru Solihien asy-Syatiri di Gunung Semanggol, maka tibalah masanya Hadi pulang ke rumahnya. Selain belajar silat, Hadi juga mendalami ilmu-ilmu agama seperti akidah, tauhid, tasawwuf dan lain-lain. Dan di gunung itulah sebuah gerakan Islam lahir dengan kekuatan iman dan ilmu para ulama’ yang sering berkumpul disitu.

Masih terngiang-ngiang pesanan ayah ketika menghantarnya ke sana.

“ Hasrat ayah ingin melihat Hadi menjadi seorang ulama’ yang adil dan seorang pahlawan yang berani. Kelak nanti jadilah kau seorang ulama’ yang perkasa. Duduklah disini jangan kau pulang ke rumah selagi kau tidak tamat belajar”

Juga harapan ibunya;
“ Hadi anakku sayang, pergilah engkau menuntut ilmu. Ibu sentiasa meredhai jejak langkahmu anakku. Hati seorang ibu sangat bangga bila dapat melahirkan seorang anak pemuda yang hidupnya hidup mulia dan matinya mati syahid di jalan Allah’’

Masih terasa hangat pelukan ibu ayah dan air mata ibu yang ditahan-tahan itu meruntun hatinya dan membakar semangatnya untuk lebih cekal. Hatiku basah mengenangkan semua ini.

Pintu rumah Tuan Guru Solihien di ketuk kemas. Risau mengganggu istirehatnya. Salam diberi seadanya.

’’ Waalaikumussalam, oh Hadi, bila mahu berangkat ?’’ soal tuan guru.

’’ Sebentar lagi ustaz.’’ Jawabku penuh kesopanan.

’’Ustaz nasihatkan kamu untuk sambung pengajian di Indonesia Raya. Di sana ramai tuan guru yang faqih. Dan sesuailah dengan kamu yang masih muda. Allah pasti memberi berkah kepada kamu Insya-Allah.’’ Kata ustaz diselit doa penuh makna.

Setelah selesai berjumpa dengan tuan guru, langkahku sangat berat menuju ke pintu pagar Madrasah al-Falah. Tiba di pondok usang depan pagar, rasa ada tangan yang menyentuh bahuku. Lalu aku berpaling ke belakang. Lalu dia terus memelukku.

’’Antara tanda ukhwah sejati adalah menerima nasihat sahabat, menjaga kehormatan sahabat dan maafkan kesalahan sahabat. Maafkan aku dan terima kasih kerana sanggup menjadi sahabat aku selama ini’’

’’Aku takkan lupa segala kenangan kita bersama dan yang paling penting ‘OREO’.’’ Kata sahabat Aqif. Dalam sendu ada senda.

Hati tak terucap sepatah kata. Genangan air mata terus mengalir tanpa ada halangan. Kali pertama aku mengalirkan air mata di bahu Aqif, sahabat sejati selama lima tahun di madrasah.

Suasana hening seketika. Aqif seolah-olah memberi aku ruang untuk melepaskan segalanya. Terkadang ukhwah sejati tidak perlukan kata-kata untuk berbicara, cukup dengan hati yang saling memahami… 
                                ………………………………………………………………….

Perjalanan selama sehari dari Gunung Semanggol ke Mersing sangat mencabar. Dengan Hutan Titiwangsa yang sangat tebal dan menempuh beberapa pekan yang hiruk pikuk sangat mencabar.

Kebiasaannya dua tiga hari baru sampai, tapi disebabkan bersendirian mudah untuk Hadi bergerak tanpa perlu memikirkan keselamatan orang lain. Apatah lagi kerinduan semakin menebal dalam jiwa.

Di kesejukan subuh itu Hadi menggigil dan dikejauhan dia terlihat rumahnya. Suara ibu ayah memanggil, bagai menerjah gegendang telinga. Langkahnya semakin deras.

Tiba-tiba langkahnya terpaku.

Sayup kedengaran ayahnya mengerang kesakitan perlahan sambil terbatuk-batuk. 

“ Allah, aduh..Salmah! berapa lama lagi anak kita di sana?”

“ Sabarlah ayahnya, mungkin bulan hadapan dia tamatlah tu pengajiannya.” Jawab ibuku lembut.

“ Hadi disini ayah!” tanpa beri salam dia terus menerpa ke dalam rumah mencari ibu ayahnya. 

Ayahnya dipeluk penuh kerinduan. Lima tahun terpisah sudah banyak berubah wajah ayahnya yang penuh kedutan dan tak segagah dahulu. Sekali lagi empangan air matanya pecah kini dihadapan ibu dan ayahnya yang sangat merindui anak tunggalnya ini.

                               ………………………………………………………………………..

Sudah empat hari dia berada dalam kapal. Empat hari itu juga dia memikirkan ibu yang di kejauhan.

Hati rasa menyesal meluahkan hasrat hati ingin ke Riau menuntut ilmu atas pesanan dari tuan guru Solihien dua minggu sebelum kematian ayahnya. Pada waktu itu ayahnya seakan sudah bertenaga semula dan Hadi rasa sangat sesuai untuk meluahkan hasratnya pada ketika itu.

Namun, hati sang anak siapalah yang sanggup meninggalkan ibu keseorangan yang baru kematian suami sebulan yang lalu. Tapi ibu sangat tabah.

“ Pergilah ke Riau sana. Banyak tok guru ilmuan besar di sana. Semasa ayah masih hidup memang ibu dan ayah sudah merancang untuk menghantar kau ke sana nak.” Lembut ibu menuturkan kata.

“ Janganlah kau risau ibu di sini.’’ Kata ibu seakan memahami lubuk hatiku.

“ Ambillah sekarung duit ini buat bekalan ke sana. Ayah dan ibu memang simpan buat bekalan Hadi ke sana. Gunalah jimat-jimat.” Hadi mengusap air mata ibunya.

“ Perpisahan ini pasti ada berkatnya ibu. Doakan perjalanan Hadi ibu, ampunkan kesalahan Hadi ibu, terima kasih atas segalanya ibu, Hadi sayang ibu. Assalamualaikum ibu’’ Hadi salam dan memeluk erat ibunya.

                                  …………………………………………………………………

Bumi Riau seakan memang menunggu ketibaan orang muda sepertinya. Di sana seolah-olah syurga ilmu. Madrasah-madrasah banyak di buka. Kegiatan ceramah juga kerap di buat. Baik untuk golongan tua, untuk remaja dan kuliah khas wanita pun ada.

Hasil kegigihannya, Hadi berjaya menguasai ilmu hadis dan ilmu tafsir selama 5 tahun di sana disamping berjaya menghafaz al-quran.

Bahkan Hadi sangat disenangi oleh masyarakat sekeliling sehingga digelar Hadi asadullah kerana kemahiran mempertahankan dirinya yang kemas dan tangkas.

Sehinggalah pada suatu hari, berlakunya serangan Belanda ke atas Indonesia Raya. Ramai orang Islam yang terbunuh. Anak muda ditangkap untuk menjadi buruh kasar. Kaum wanita habis semua dirogol dan pancung.

Pada saat itu, kawasan madrasah-madrasah yang terdapat di Indonesia adalah benteng terakhir umat islam. 

Dengan kelebihan yang ada, Hadi menawarkan diri untuk mengajar sahabat-sahabat semadrasah dan orang ramai untuk belajar ilmu silat yang dikuasainya. Mungkin tidak setanding dengan senapang dan pistol askar Belanda. Tetapi keimanan yang kukuh tiada siapa mampu goncangkan hati mereka.

                                    ..……………………………………………………………….

Keluarga keSultanan Indonesia Raya dan sebatalion mujahid islam sudah selamat sampai berselindung di Madrasah al-Ansor. Tetapi kelibat tuanku sultan Indonesia Raya tidak lagi kelihatan. Dikhabarkan baginda sedang membantu mujahid-mujahid di luar sana, memandangkan tentera islam di dalam kesempitan dan baginda mengarahkan sekumpulan askar berselindung dan merancang strategi bagi menghalau tentera zalim Belanda laknatullah dari bumi bakkah Riau.

Hadi dengan keilmuan dan kemahiran peperangan yang dimiliki diberi kepercayaan menjadi Panglima perang sedang berbincang beberapa strategi bersama empat orang panglima yang lain.

“Musuh semakin berani merobek keamanan Indonesia Raya ini. Sudah banyak strategi yang dirancang, tetapi apa kan daya musuh penuh dengan kelengkapan senjata. Tipu muslihat hubungan diplomatik dengan Belanda seakan perjanjian sampah. Seolah-olah kesultanan Indonesia Riau ini tiada maruahnya. Wilayah Jawa Jaya dan Sumatera juga sudah di kuasainya.Wahai panglima sekalian, beta mengharapkan strategi yang berkesan daripada kamu semua” jelas Sultan Riau yang terlibat sama dalam perbincanan.

“Memandangkan kekuatan kita semakin berkurangan dan musuh yang semakin banyak menguasai wilayah-wilayah kesultanan Indonesia Raya, maka saya mencadangkan gunung Riau ini kita jadikan kubu pertahanan terakhir kita dan kita mesti melumpuhkan jentera-jentera besar musuh dan meriam-meriam memandangkan musuh sangat bergantung dengannya dalam setiap peperangan. Yang lebih penting kita mesti menggunakan sebaiknya kelebihan keadaan muka bumi Riau ini.” Hadi tenang memberi cadangannya.

“Bagaimana nak lumpuhkan jentera dan meriam musuh?” Panglima Iskandar seolah tidak yakin dengan idea daripada Hadi sedangkan jentera musuh sangat ampuh untuk ditumbangkan.

“ Terima kasih bertanya. Bahagian timur gunung terdapat jeram yang deras untuk dilalui musuh. Meriam musuh memerlukan sekurang-kurangnya lima ratus orang tentera mengangkatnya. Jadi sangat mustahil mereka melepasinya. Bahagian utara penuh dengan hutan yang sangat tebal dan sangat cerun pergunungannya. Sangat sesuai jika kita membina perangkap-perangkap berat dan mustahil untuk jentera musuh menembusinya. Bahagian barat dan selatan sahaja yang mungkin agak terbuka sedikit. Dan saya nampak peluang kita dari kelemahan ini”

Sementara sultan dan 3 orang panglima yang lain tekun mendengarnya.

 “ Pertama sekali, walaupun agak terbuka tetapi sukar musuh menembusi dengan jentera-jenteranya dan boleh melambatkan pergerakan musuh. Kemudian kita boleh bina parit yang sangat dalam sepanjang 100 batu. Memandangkan tentera bantuan seramai 25 000 orang dari wilayah Semanggol akan tiba pada malam ini. Patik sangat yakin kita mampu melakukannya” tanpa ragu Hadi memberikan cadangan.

“ Tetapi jika membina parit kita akan terkepung lebih sebulan dan cukup untuk Belanda mendapat bantuan tentera bantuan memandangkan mereka juga ada tanah jajahan di sekitar Asia ini selain mereka boleh menebang pokok-pokok untuk dijadikan titi parit”
panglima Omar mencelah.

“Sebab itu patik katakan, kita mesti gunakan segala kemahiran tentera kita yang sangat cekap berperang dikawasan hutan tebal, jeram dan cerun curam gunung. Kalau takut musuh bina titi kita ada tentera gempur kita yang hebat. Tiada tentera yang lebih hebat di hutan Riau melainkan tentera Riau sendiri.” Jelas Hadi ringkas.

Saya bersetuju dengan cadangan ini. Cuma kita perlu menyerang habis-habisan supaya mereka hancur dan lari dari negara ini.” Semua panglima bersetuju dengan kata-kata Panglima Omar. 

Sultan juga menampakkan keyakinan dengan strategi ini.

Setelah berbincang berkenaan taktik-taktik serangan secara terperinci, gerakan berjaga-jaga di bahagian timur dan utara, dan pembahagian jumlah kumpulan tentera mereka pun bersurai bagi meneruskan gerakan-gerakan yang telah diaturkan.

Arahan dari sultan supaya semua tentera wajib mengerjakan qiamullail pada setiap malam dan baginda sendiri yang pergi melawat setiap khemah tentera sama ada solat malam atau tidak.

Bagi menggerunkan pihak musuh pada waktu malam, mereka memasang obor sebanyak yang boleh bagi menggambarkan kekuatan tentera Islam.

               ………………………………………………………………………………………………

Pada waktu peperangan kelihatan pihak musuh sangat terkejut dengan perangkap-perangkap tentera Islam. 

Cerun yang curam di bahagian utara memberi kelebihan kepada tentera islam memanah musuh yang dibawah tanpa musuh dapat memberi serangan balas. 

Bahagian timur berlaku sedikit pertempuran, tetapi kemahiran tentera Islam di kawasan jeram memberi kelebihan kepada tentera Islam menghapuskan semua tentera Belanda.

Gerakan musuh dibahagian terbuka seakan terhenti seketika dengan berhadapan parit yang dalam, lebar dan panjang. Usaha-usaha tentera musuh untuk melepasi parit hanya merugikan mereka apabila diserang mudah oleh tentera Islam.

Diceritakan ada seorang Panglima tentera Belanda yang secara senyap telah memeluk Islam. Dan dengan helahnya telah berjaya memboloskan dirinya untuk menghadap Sultan Riau. Panglima Belanda itu dengan jujurnya telah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan sultan dengan lancarnya dan bersumpah untuk membantu tentera Islam dengan membawa berita palsu kepada Gabenornya.

Apa berita yang ingin kau sampaikan kepada ketua engkau? Tanya Sultan.

“Aku akan sampaikan berita serangan balas tentera Islam ke atas wilayah Jawa Jaya dan memerlukan bantuan tentera segera. Apabila bilangan tentera Belanda berkurangan bolehlah tuanku menyerang mereka dengan mudah sekali. Lagi pun, jentera-jentera dan meriam-meriam kami tidak dapat melepasi hutan ini. Bahkan untuk makluman tuanku, tentera kami agak gerun dengan sebaris tentera berpakaian putih yang berjaga di seberang parit” panglima Belanda bersungguh memberi kenyataan diselitkan dengan maklumat keadaan tentera yang dalam keadaan lemah.

Baginda Sultan bersetuju dengan cadangannya memandangkan jika dia mengkhianati tiada sebarang kerugian di pihak tentera Islam. Bahkan dia merupakan panglima tentera Belanda, orang kepercayaan Gabenornya. Mustahil Gabenornya tidak percaya.

Dan sungguh! Tentera Putih, petanda pertolongan Allah sudah turun kepada hambaNya yang benar-benar mengharap.

Sehinggalah pada malam kedua, kelihatan satu per tiga tentera Belanda telah berpusu-pusu meninggalkan tempat peperangan ditambah dengan hujan lebat yang turun dan cuaca yang sejuk menyebabkan ramai tentera Belanda yang tidak dapat bertahan dan ingin pergi ke Jawa Jaya.

Pada hari ketiga kelihatan gerakan tentera Belanda menebang pokok untuk dijadikan jambatan melepasi parit. Lalu pada saat itu juga tentera Islam bergajah menyerang tentera Belanda. Gempuran tentera bergajah berjaya menghalang mereka melepasi parit dan menyebabkan ramai tentera Belanda terbunuh. Musuh terlupa dengan kekuatan Riau yang kaya dengan gajah-gajahnya yang perkasa.

Pada saat tentera Belanda dalam kelemasan dengan tentera bergajah, 30ribu tentera Islam turun menyerbu tentera Belanda. Dalam gempuran bertenaga itu Hadi menunjukkan kegagahannya sebagai Panglima tentera Islam.

“Jihad, Jihad, Sabiluna!”

“Al-Mautu fi sabilillah asma amanina!”

Laungan Hadi disahut tentera Islam cukup menggemparkan dan menggerunkan hati tentera musuh.

Libasan pedang Hadi menampakkan keperwiraan Hadi. Walaupun tentera Islam terpaksa berhadapan dengan hujan peluru dari tentera musuh tetapi seolah-olah peluru yang tertujah di badan mereka hilang fungsinya. 

Memang benarlah kata seorang ulama’,  ''Apabila kemuncak kezaliman bertemu kemuncak kesabaran, maka pertolongan Allah akan turun''.

Sehinggalah akhirnya, tentera Islam berjaya menghancurkan tentera Belanda. Sewaktu operasi pembersihan mayat-mayat tentera. Aqif tentera bantuan dari Semanggol terjumpa sekujur tubuh tentera Islam yang dalam nyawa-nyawa ikan.

“Hadi?! Panglima Hadi ke ni?!!”, soalan Aqif dijawab dengan anggukan sahaja.

“Aqif, aku tak sabar ingin ke sana. Sahabat sejati pasti berjumpa di syurga’’ Hadi bersuara tersekat-sekat.

Hanya linangan air mata Aqif sahaja yang mampu bersuara.
Hanya linangan air mata yang bersuara dengan perpisahan abadi ini.

“Jika dahulu engkau yang menangis tetapi kali ini aku pula ya asadullah” getus Aqif perlahan.

Jika dahulu engkau yang menangis, tapi kali ini giliran aku pula.
Jika sekarang giliran kau kembali kepada Rabbi, esok pasti giliran aku.

               …………………………………………………………………………………………


Alhamdulillah, setelah perbincangan kedai kopi dengan Ali Hadi terbukti beliau seorang yang sangat idealistik. Seorang yang memandang kehadapan selain berakhlak mulia. Biarlah tidak sehebat Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tapi semangat “Hadi” yang membara dalam jiwanya sangat membanggakan. Alangkah rugi jika tidak mendampingi sahabat seperti beliau.

Tribute to Ali Hadi Abu Hanifah~

Friday, 19 July 2013

JUTAAN MURSI SUDAH BANGKIT


Bangun subuh 4 julai 2013 ibarat bangun dalam subuh yang kelam. Berita kejatuhan kerajaan Mursi amat memilukan hati. Ibarat bak kata teman sepengajian, lebih pilu dari kekalahan PR dalam PRU13.
Awan Mesir bergolak lagi. Kali ini penggulingan Presiden Mursi oleh pihak tentera yang diketuai Abdel Fateh al-Sisi yang turut disokong oleh kumpulan liberalis, sekularis dan sosialis. Karat-karat jahiliah selama lebih 30 tahun, mampukah dipulihkan selama setahun? Oh, teori relatif apakah ini?

Aku bukanlah warganegara Mesir, dan bukan juga pelajar yang menuntut di Mesir tapi aku adalah insan yang dapat merasai kesedihan dunia dengan peristiwa pahit yang menjadi satu sejarah kini. Mungkin sebelum ini kita meratapi kejatuhan empayar agung Usmaniyah. Tetapi kali ini pada zaman kita sendiri kejatuhan kerajaan yang mendokong hukum-hukum Allah dijatuhkan. Kesedihan dunia pada waktu ini membuatkan aku rasa terpanggil untuk memberikan sedikit coretan semangat buat sahabat-sahabat di luar sana.

Sahabat-sahabat,

Sejarah kali ini benar-benar menguji keimanan para pejuang Islam. Adakah perlu terus menentang di jalanan menandakan protes atau terus mengatur strategi lain? Persoalan yang bukan mudah untuk difikirkan dan membuktikan perjuangan islam bukan semudah A,B,C; bukan semudah berdiskusi diawang-awangan tanpa jejak dan bukan semudah memberi arahan. Sesungguhnya pasti ada ujian untuk mengukur sejauh mana kesungguhan kita memperjuangkan Islam.

’’ Patutkah manusia meyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : ‘kami beriman’ , sedangkan mereka tidak diuji? ’’  (Al-Ankabut,2)
Dan aku ucapkan SYABAS! kepada teman yang berusaha dalam susah payah untuk memenangkan PR dalam PRU13 sebelum ini dan setinggi-tinggi SYABAS! kepada yang terus istiqamah walau kemenangan masih tertangguh.

Teman-teman,

Peristiwa pahit ini pasti akan menjadi kajian oleh para penganalisis politik dan jika dibukukan hasil kajian pasti menjadi ‘best seller book’ dan aku sangat yakin menjadi ingatan kepada seluruh abnaul harakah. Sungguh!
Ikhwah dan akhawat,

Demi sesungguhnya setiap perjuangan ada ujiannya dan setiap ujian adalah tapisan-tapisan Allah dalam meneruskan perjuangan ini. Bahkan para sahabat Rasulullah juga di tapis oleh Allah sebelum peperangan Uhud di mana Abdullah bin Ubay telah menghasut sebahagian tentera Islam untuk berpatah balik ke Madinah atas alasan tidak bersetuju dengan cadangannya supaya bertahan di Madinah sahaja. Sehinggakan hampir 300 orang tentera Islam berpatah balik dan yang pasti tentera berbaki adalah tentera yang setia dan sentiasa bersemangat untuk bersama-sama dengan Rasulullah.  

’’ Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan yang nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.’’ (Al-Ankabut,3)

Serangkap lagu ‘Ini Langkahku’ sangat bagus untuk direnungkan :

Ini langkahku,
Yang kan ku hayun,
Walaupun payah,
Tak akan jelak,
Bangkitkan jihad ku !!!

Teguhkan iman, tetapkan hati, teruskan asa, tegapkan langkah, tajamkan pemikiran.
Ingatlah jika semalam seorang Mursi jatuh, hari ini ribuan bahkan jutaan Mursi akan bangkit!
                                                                                           
Dan aku bermohon kepada Allah untuk mengambil tangan-tangan kita supaya kita menjadi orang-orang yang layak untuk mendapat pertolongan dan dokongannya, ya Allah perkenankanlah! Tidakkah aku telah sampaikan ya Allah, maka saksikanlah.

Wallahualam
.

Wednesday, 3 July 2013

Masked Rider Anang

Kisah ini kisah benar sahabatku yang sangat aku kagumi hari ini. Seorang yang menguasai isu semasa dan dalam masa yang sama menguasai ilmu-ilmu haraki. Jika berlaku isu-isu kezaliman pemerintah dialah orang pertama antara kami yang bersungguh-sungguh mencari maklumat untuk hebahan kami dan orang ramai. Dan di lapangan dia seorang yang sangat bersemangat menentang saki-baki jahiliah. Dan sungguh aku tak sangka pada waktu kecilnya ada perangai yang sebegini. Jom kita baca.

‘’Cepat-cepat! cerita Masked Rider Ryuki dah nak mula’’ setiap hari ahad tepat jam 5 petang pasti Anang tercongok depan tv menonton aksi kartun kegemarannya Masked Rider Ryuki.
Sedang bermain dengan sahabat-sahabat sepermainan sempat Anang meniru aksi Ryuki.
“Bertukar!” , jerit Anang sambil meniru aksi Ryuki bertukar kostum untuk berlawan dengan pihak musuh.

Bukan waktu bermain sahaja tetapi waktu ingin ke tandas, pergi membantu ibunya di dapur dan bapanya membersihkan halaman rumah juga sempat meniru aksi “bertukar” tersebut.

Sehinggalah naik ke tingkatan 1, Anang tetap setia dengan kartun kesayangannya Masked Rider Ryuki. Dan lebih membanggakan dia berjumpa dengan seorang yang mempunyai minat yang sama, Syarif.

Di sekolah asrama tersebut, mereka bermain bersama. Dan yang paling mencuit hati apabila mereka sama-sama “bertukar” dan berlumba siapa yang sampai dahulu di tandas untuk mandi.

Pada suatu malam yang hening, bebintang berkedipan menemani rembulan yang bersinar penuh. Mereka berdua berimaginasi, muncul sang naga Ryuki yang berkeliaran di langit bagi menandakan kekuatan Ryuki mengalahkan pihak musuh.

Selepas beraksi dengan sang naga perkasa, Syarif mengajak Anang untuk solat sunat hajat bersama untuk menunaikan hasrat mereka untuk menjadi seorang Masked Rider untuk membunuh Presiden GWW Bush yang sangat kejam.

Sehinggalah pada sujud yang terakhir, mereka mengandaikan mereka telah bertukar menjadi seorang pejuang Masked Rider yang gagah perkasa untuk membunuh GWW Bush. Sungguh tak sangka sehingga begini pemikiran sang anak kecil. Zaman sekarang apa la kan….

Sungguh mencuit hati bila membaca kisah ini. Walaupun di alam realitinya dia tidak bertukar menjadi seorang Masked Rider, tetapi semangat menegakkan keadilan dan menentang kezaliman Anang pada hari ini sangat aku kagumi.


::Masked Rider Anang::

Wednesday, 19 June 2013

POKOK


Hanya sebatang pokok. Redupnya menjadi teduhan sang musafir. Hijaunya penyejuk mata yang melihat. Rimbun dedaunnya menjadi pengimbang kepanasan bumi. Tingginya dan besarnya pokok tanda lanjutnya usia pokok.

Hanya sebatang pokok. Redupnya menjadi teduhan Hafiz dan Hazwan. Hijaunya penyejuk hati Hafiz dan Hazwan. Rimbun dedaunnya menjadi sumber ilham Hafiz dan Hazwan. Tinggi dan besarnya pokok tanda diri Hafiz dan Hazwan semakin meningkat remaja. Begitu juga persahabatan ini yang akrab matang dan semakin matang.

26 JULAI 2008
Redupnya pokok menjadi teduhan Hafiz dan Hazwan selepas pulang dari sekolah. Di situ mereka berbincang aktiviti sekolah. Hazwan yang amat meminati bola sepak selalu menceritakan bintang idamannya Robin Van Persie. Hafiz sebagai tokoh pidato sekolah sangat meminati stail Dato’ Anwar Ibrahim berpidato. Kami saling berkongsi idola masing-masing.

‘’Hafiz! Lihat ni. Rembatan Van Persie yang sangat tajam. Jangan tangkap, patah jari nanti’’ jerit Hazwan ke arah ku yang sedang berdiri di hadapan pokok.

 Aku hanya tersenyum melihat Hazwan sambil menangkap bola sepakannya.

‘’Aduh, laju juga sepakan bola Hazwan ni. Teruk aku kena’’ rungut aku sendirian. Hazwan di hujung hanya tersenyum melihat aku agak terkial-kial menangkap bola.

18 OGOS 2008
Hijaunya pokok sangat menenangkan Hafiz dan Hazwan. Pernah satu ketika Hafiz kecewa dalam satu pertandingan pidato. Hanya ditempat ke-dua setelah jerih payah berusaha berlatih di bawah pokok bersama-sama Hazwan.

Lalu Hazwan menghulurkan satu kotak hadiah. Sambil tersenyum dia katakan ‘’Setiap sepakan tajam Van Persie terkadang tak gol pun tapi mampu menggetarkan pihak musuh. Jangan sedih la, esok aku pasti menang dalam perlawanan bola sepak. Itu janji dan hadiah buat kau’’ kata Hazwan penuh keazaman.

Dan memang benar Hazwan memang hebat di gelanggang bola. Pasukan sekolah juara dan dia dianugerahi pemain terbaik. Memang kehijauan pokok mampu beri ketenangan di hati.

20 SEPTEMBER 2008
Petang ini seperti biasa kami bertemu di bawah pokok. Hazwan menceritakan masalah pasukan bolanya yang ada sedikit salah faham menyebabkan latihan tidak dapat berjalan lancar dan perlawanan persahabatan dengan pasukan sekolah lain mengalami kekalahan teruk.

Macam mana Hafiz, ada idea tak wahai Anwar Ibrahim ke-2 ? tanya Hazwan bernada gurau.

‘’Masalah ukhwah kot. Menyebabkan ada yang tak terima posisi masing-masing’’ Hafiz menduga. Hazwan hanya mengangguk.

‘’Cuba main satu game(modul) bina bangunan sebelum latihan esok. Kemudian cuba buat satu resolusi berkenaan kepentingan kesatuan dalam pasukan bola’’ Hafiz memberi idea. Hazwan hanya mendengar.

‘’Dan kaitkan dengan peristiwa peperangan Rasulullah dan para sahabat. Ingat tak sewaktu Umar Al-khattab melucutkan jawatan Khalid al-walid sebagai panglima dalam Perang Muktah. Khalid Al-walid penuh taat dengan arahan itu tanpa sebarang tentangan apatah lagi sebarang rungutan’’ Hafiz menambah.

‘’Posisi tidak penting, yang penting adalah teruskan berjuang’’ Hazwan seakan faham maksudku.
Sungguh rimbunan dedaunan pokok mampu mengilhamkan kita.

26 SEPTEMBER 2008
Setelah penat berhempas pulas belajar di sekolah, seperti biasa tepat pukul 3 petang Hafiz dan Hazwan akan berjumpa di bawah pokok. Tapi setengah jam Hafiz menunggu Hazwan di pokok penuh kesabaran. Mungkin ada hal yang mungkin dia perlu selesaikan. Tugasan sebagai ketua pelajar terkadang tak kira masa. Sungguh Hafiz sangat menghormati Hazwan yang sangat dedikasi dengan tugas.

Setengah jam kemudian kelibat Hazwan muncul di kejauhan. Hafiz menjerit memanggil nama Hazwan. Hazwan berlari sambil tercungap menahan nafas.

‘’Hai, takkan Van Persie tercungap berlari 100 meter’’ Hafiz bergurau.

‘’Tak de lah, biasa lari 1000meter je, tak biasa lari 100 meter ni, sebab tu tercungap-cungap ni.’’ Balas Hazwan spontan. Hahaha!! Gelak besar keluar dari perut Hafiz dan Hazwan.

‘’Maaf lambat. Tadi aku terbaca berita pasal Gaza. Israel laknatullah menyerang gaza lagi. Serangan dibuat secara membabi buta. Ramai kanak-kanak, orang tua , orang awam yang terbunuh. Dikatakan Israel ingin menyerang ketua gerakan HAMAS Ismail Haniyeh tapi tersasar sehingga menyebabkan kawasan orang awam menjadi mangsa’’ terang Hazwan.

‘’Masyaallah. Semoga Allah membantu para pejuang Islam di Gaza. Dengarnya pejuang gerakan islam di Gaza, HAMAS sangat berdisiplin. Setiap malam wajib bagi diri mereka mendirikan solat malam, berpuasa sunat selalu, mengaji al-quran dan amalan-amalan yang lain’’ Hafiz berkongsi cerita.

‘’Hafiz, aku berazam nak jadi seorang engineer satu masa nanti. Aku nak cipta jentera perang yang digeruni. Senjata perang yang paling hebat’’ kata Hazwan dengan gaya yang sangat bersemangat.

‘’Dan mungkin perlukan orang seperti kau untuk mendidik masyarakat berjiwa pengasih dan sedarkan orang tentang kewajipan mempertahankan kesucian islam’’ tambah Hazwan lagi. Hafiz mengangguk tanda setuju dengan sahabatnya.

23 JUN 2028
Kini mereka berdua sudah meningkat dewasa.

Hazwan menjadi seorang jurutera yang sangat disegani negara. Bekerja disebuah syarikat perkapalan utama negara, GEMPUR Company. Kini sudah mencipta beberapa kapal perang yang sangat moden dan mampu menggerunkan pihak musuh-musuh islam.

Hafiz sekarang sudah menjadi seorang ahli parlimen yang sangat disegani kawan dan musuh di dewan parlimen negara. Pendapatnya yang matang, suaranya yang lantang dan gaya bercakap yang tenang dan menyengat sangat dihormati dalam kalangan rakyat yang sangat bijak menilai.

Hafiz dan Hazwan berdiri bersebelahan di hadapan pokok yang berjasa. Kenangan-kenangan lalu sangat menyentuh hati.
Mengenangkan hanya sebatang pokok mampu memberi teduhan kepada manusia.
Hanya sebatang pokok dengan kehijauannya mampu buat manusia tenang.
Hanya sebatang pokok dengan rimbunan dedaunnya mampu menjadi inspirasi kepada manusia.
Ketinggiannya dan besarnya pokok menunjukkan persahabatan Hazwan dan Hafiz juga semakin dewasa.

Impian mereka sudah tercapai. Platform masing-masing juga sangat kukuh. Cuma satu sahaja impian yang belum tercapai. Membantu perjuangan Islam di seluruh dunia terutama di Palestin.

Tanpa membuang masa mereka merancang strategi di bawah pokok itu.
Konspirasi terancang bermula dari bawah pokok itu.


Tuesday, 18 June 2013

Retak Menanti Belah

Selasa 18 Jun 2013, akhbar Berita Harian melaporkan Dr. Mahathir menyokong cadangan supaya jawatan Presiden & Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akhir tahun ini bagi mengelakkan perpecahan.

“ Pada asasnya saya menyokong jika ada pertandingan kerana ia akan menyuburkan amalan demokrasi tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi yang sebenar. Jika kalah mereka menubuhkan parti lain, sekaligus menyebabkan orang Melayu dan UMNO berpecah.” Kata Tun Dr. Mahathir.

Kenyataan Dr M menggambarkan ketempangan besar sedang berlaku dalam UMNO selain gagal mempertahankan 140 kerusi parlimen yang dimenangi dalam PRU12. Ahli veteran UMNO juga bekas Presiden UMNO, itulah dia Dr M yang semakin dia bercakap semakin jelas ketempangan yang berlaku dalam BN, UMNO khususnya. 

Selama 50 tahun menerajui Malaysia, UMNO gagal mengajar rakyat demokrasi sebenar. Ini yang patut pimpinan UMNO muhasabahkan. Apakah latihan kepimpinan yang diberikan kepada generasi pelapis UMNO? Jika bab demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negara sudah gagal, apatah lagi bahagian ekonomi yang semakin meruncing cabarannya.

Belum lagi disentuh bab mempertahankan agama Islam. Islam yang digambarkan dalam pentadbiran BN gagal meyakinkan non-muslim bahawa Islam adalah agama yang telus dan bersih dari rasuah.


Selain gagal menyuburkan asas-asas amalan demokrasi dalam kalangan rakyat Malaysia, UMNO juga kena mesti menerima kenyataan bahawa perpecahan yang semakin membarah dalam UMNO. Demikianlah kerisauan yang sangat dikhuatiri oleh Dr M. 

Ibaratnya seperti sebuah pasu kaca yang retak menanti belah sahaja. Bahkan jika disentuh maka hancur berkecailah UMNO.

Pendirian penulis, amalkanlah demokrasi yang matang dan janganlah takut untuk dicabar. Biarkan yang sedikit yang mungkin tidak menyokong Dato' Seri Najib dapat menyuarakan pendapatnya melalui undian.

Anggaplah kritikan ini dari anak muda yang dibesarkan dalam keluarga yang menyokong UMNO..

PRU 13 & PERJANJIAN HUDAIBIYAH


Disebutkan dalam kitab rakhiqul makhtum isi Perjanjian Hudaibiyah adalah:

1)Rasulullah s.a.w hendaklah pulang pada tahun itu dan tidak boleh masuk ke Mekah. Pada tahun hadapan orang-orang Islam boleh masuk Mekah dan menetap di situ selama 3hari. Mereka hanya boleh membawa senjata orang berperjalanan sahaja iaitu pedang yang disarungkan & pihak Quraisy tidak boleh menghalang mereka walau dengan apa cara sekali pun.

2) Gencatan senjata dilaksanakan antara dua pihak selama 10tahun. Dalam tempoh itu manusia berada dalam keadaan aman & hendaklah sebahagian mereka menghalang sebahagian yang lain daripada menimbulkan kekacauan.

3) Siapa yang suka masuk ke dalam perlindungan & jaminan Muhammad maka ia boleh berbuat demikian. & siapa yang mahu masuk dalam perlindungan Quraisy dan jaminannya, ia boleh berbuat demikian. Mana-mana kabilah yang bergabung dengan salah satu pihak ini dianggap sebahagian pihak tersebut. Sebarang persengketaan yang ditimbulkan oleh mana-mana kabilah dianggap persengketaan terhadap pihak tersebut.

4) Orang Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya iaitu melarikan diri kepada Muhammad hendaklah dikembalikan kepada mereka. Orang yang bersama Muhammad jika datang kepada Quraisy iaitu melarikan diri dari Muhammad tidak akan dikembalikan.

Beberapa kejadian yang berlaku sewaktu rundingan dalam perjanjian ini. Antaranya Saidina Ali penulis perjanjian ingin memulakan perjanjian dengan “Bismillahirrahmanirrahim” tetapi dihalang oleh Suhayl bin Amru lalu dimulakan dengan “Bismikallahumma” & ingin  menyebut “Muhammad Rasulullah” tetapi sekali lagi dihalang oleh Suhayl & Nabi menyuruh Ali memadamnya tetapi Ali enggan lalu Nabi memadamnya sendiri dan menulis “Muhammad bin Abdullah”.

Perjanjian ini adalah gencatan senjata Hudaibiyah. Sesiapa yang menyelidiki perjanjian secara mendalam butir-butir perjanjian beserta latar belakangnya, rupa-rupanya kemenangan yang besar buat umat islam. Walaupun hak umat islam untuk menunaikan umrah&haji pada tahun tersebut dinafikan tetapi umat islam bebas menunaikan umrah&haji bermula pada tahun hadapan.

Walaupun terpaksa mengalah dalam beberapa aspek seperti nama Allah( ar-rahman & ar-rahim) & gelaran Rasulullah tetapi umat Islam bebas menyebarkan dakwah tanpa sebarang gangguan kaum kafir Quraisy dalam kerangka gencatan senjata selama 10tahun & umat islam tidak mendapat sebarang kemudharatan dengan butiran perjanjian ke-4 walaupun lebih berpihak kepada kafir Quraisy. Satu iktibar yang paling besar apabila Perjanjian Hudaibiyah ini menyingkap pengiktirafan kaum kafir Quraisy Mekah terhadap kerajaan Islam Madinah yang dipimpin Rasulullah tercinta.

Walaupun butiran perjanjian tidak berpihak kepada umat Islam tetapi hasil dari perjanjian ini berbondong-bondong orang memeluk agama Islam.

Refleks dari sirah nabi ini, tergambar dalam peristiwa besar 5 Mei 2013, PRU13 dimana pertempuran sengit antara Pakatan Rakyat(PR) & Barisan Nasional(BN).

Boleh dikatakan satu peperangan masa kini yang memberi kelebihan kepada BN yang menguasai kewangan negara , media massa arus perdana dan badan bebas yang menjalankan PRU iaitu SPR.
Kita melihat pihak PR dinafikan haknya untuk menjawab segala isu yang dilontarkan BN dalam media, kita melihat nama daftar pengundi yang tidak bersih, undi pos yang dimanipulasi oleh BN, dakwat kekal yang kekal sehari cuma walau ditegaskan kekal 7hari oleh SPR, kejadian ‘blackout’ di kebanyakan pusat pengiraan undi, pengundi bangla upahan, peti undi hilang di parlimen Putrajaya dan banyak lagi penipuan yang berlaku.

Keadaan ini lebih berpihak kepada BN dan berjaya menubuhkan kerajaan kabinet. Namun, hasil undian memperlihatkan majoriti rakyat mengundi PR dengan 52% berbanding BN 48%. Maka, walaupun banyak situasi yang lebih berpihak kepada BN tetapi berbondong-bondong rakyat memilih PR dalam menyokong gagasan kerajaan rakyat.

Tahniah kepada kerajaan BN dapat menubuhkan kerajaan dengan majoriti rakyat menolak BN!

Inilah sejarah yang berulang kembali. Amat beruntung kepada orang yang selalu membelek-belek sirah perjuangan Rasulullah. Saya yakin dan percaya, dugaan yang dihadapi oleh Rasulullah dan para sahabat lebih besar berbanding kita yang secubit rasa susah cuma. Maka amat malanglah orang yang meragui dan keluar dari jalan perjuangan ini.

Dan lagi, aku pernah menanyakan perihal kekalahan PR dalam PRU13 kepada salah seorang bekas pimpinan PAS Pusat. Lalu dijawabnya kekalahan ini merupakan satu rahmat buat PR disebabkan masih ada lagi segelintir sahabat kita yang masih tidak memahami matlamat sebenar perjuangan kita. Matlamat kita adalah menegakkan kalimah Allah dan bukan kemenangan PRU semata-mata.

Maka wahai sahabat seperjuangan, tetaplah tsabat dalam perjuangan.


“ Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu melihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat”  (an-nasr, 1-3)

Saturday, 8 June 2013

KEJAR MENGEJAR DISAAT KESEMPITAN

                             
Salam. Apa khabar semua? Sihat ke? Semua mengangguk tersenyum tanda sihat.
“Okay, sebenarnya saya tengah mencari cara belajar yang efektif. Apa kata kamu semua kongsi bagaimana cara kamu study dengan saya” tenang suara dilontarkan

“Baik, Alhamdulillah. Semua sudah berkongsi cara study masing-masing. Saya harap kamu semua dapat lihat apa kelemahan cara kamu study selama ni. Saya memahami semua ada komitmen masing-masing.  Komitmen dalam society yang pack dengan meeting dan family di rumah. Sibuk bagaimanapun, perihal akademik jangan dilupakan”

“Orang selalu cakap, ‘’society nombor satu, study bukan nombor dua’’. Jadi study nombor berapa? 3,4,5,6,7? Ubah persepsi ini. Teruskan berjuang. Hidup ini memang susah. Orang yang tak mahu susah tak layak untuk hidup. Sebab lagi menyusahkan orang lain.” Peringatan di beri penuh hikmah dan sedikit menusuk.

“ Kita start meeting hari ni pukul 8.15pm. Dalam mesej meeting pukul 8.00pm” sekali lagi peringatan dilontar.

 “Jangan salahkan meeting jika tiada masa untuk study sedangkan diri yang suka berlengah”

………………….

Tepat 10pm Imran terus balik ke bilik selepas habis meeting. Dalam perjalanan dia terserempak dengan Abu yang tengah lepak di gerai mamak.

“Abu , belanja aku teh tarik satu” Imran duduk di kerusi sebelah abu.

“Pergilah mintak. Aku bayar” jawab Abu ringkas.

(20minit berlalu: Masa yang bergerak terus bergerak membawa pergi semua masa lalu yang takkan datang semula)

Sampai di bilik.

“Argh, penatnya meeting tadi” luah Imran kepada Umar.
“Dah la lambat mula tadi. 15minit burn macam tu je” rungut Imran lagi

‘’ Kau ni macam tak biasa pulak. Janji melayu memang macam tu ‘’ Umar tergelak kecil.

‘’Eh, kau pergi tak tengok MU lawan Arsenal tadi ? Aduh ruginya tak dapat tengok. Sape score ?’’

‘’Van Persie score dua. Arsenal kosong’’ jelas Umar ringkas.

‘’Um, jom pes..hehe’’ Umar tersenyum kecil tanda setuju.

(1jam berlalu : Masa terus berlalu. Malam yang tenang terus bergerak )

Beep…beep…handphone berbunyi tanda mesej masuk.
‘’Esok 1oktober birthday Amar. Jom prank! UAC-123”

Imran dan Umar berpandangan. “Jom!” serentak mereka saling mengajak.

(1jam berlalu: Masa terus berlari meninggalkan kita )

“Hahaha…kesian Am tadi kena simbah dengan air busuk giler” Imran tergelak besar.

“Penat la, nak study lah. Tutor Chemistry tak sentuh lagi ni” sambung Imran tanpa sebarang kerisauan.

Telinga sudah disumbat dengan ear phone. Nasyid-nasyid kerohanian menemani Imran belajar.

(2 jam berlalu: belajar sambil mendengar lagu. Tolak tambah,lebih kurang 45 minit sahaja yang betul-betul digunakan untuk study. Sungguh muzik tidak pernah menipu tapi perlakuan manusia yang menipu)

2am: Tidur. Zzzz…..

………………………….

KRING!!! KRING!!! KRING!!!
Jam loceng berdering membingitkan bilik.

“Hoi! Bangunlah. Solat subuh” Umar mengejut Imran buat kali yang entah ke berapa.
Dah pukul 7 dah ni. Bangun lah! Umar menggugah badan Imran.

Imran bangun kemalasan. Tambah tolak, 7.15 baru solat subuh.

Pagi yang indah, katil lagilah indah. Sejurus tahiyat akhir, terus tumbang atas katil.

‘’Im, bangun. Pukul 9 dah ni. Ko kelas pukul berapa ?’’ Umar mengejut sahabatnya penuh kesabaran.

‘’Hah ! kenapa baru nak kejut. Kelas chem pukul 9’’ Imran bergegas ke bilik air.

………………….

“Huh…sampai juga akhirnya” getus Imran dalam hati.

“Lepas ni lambat datang kelas, denda menari depan kelas” suara Madam Maryam tegas kedengaran disahut gelak tawa sahabat-sahabat kelas yang lain.

(20minit lewat ke kelas : Sesaat ketinggalan ibarat kerugian seribu mutiara ilmu. Maka yang ponteng kelas? )

Lecturer ajar memang bergaya,
Nota kawan lagi bergaya
Kita tidur penuh bergaya,

Guru mengajar di depan,
Kita berkhayal dibelakang,

Ilmu di cari penuh kesungguhan,
Kita mencari penuh khayalan,

Result kawan flying colours,
Result kita colourless,
(2jam berlalu : masa berlalu yang selalu dikejar dihujung kesempitan)


12 tengah hari : Lunch time

‘’ Am, jom makan. Aku bayar. Sorry for last night & happy birthday.” Imran tersengih nakal.

“OK, never mind. Lepas ni kau pulak. Hehehe…kuah lauk basi semalam aku dah perap. Just be prepared” Amar tersengih membalas gurauan Imran.

“Kau dah putus fius ke Am!” Imran seakan cuak.

Amar membalas dengan senyuman. “Gurau jelah”

(45minit berlalu : Orang yang bijak sangat menghargai masa walaupun ketika makan dan bergurau)


2 petang : kelas Fizik 1

“Yes, kelas cancel petang ni!” ( Kerugian yang sangat disyukuri oleh kebanyakan orang)

“Im, jom teman aku study kat library. Boleh discuss sikit pasal bab periodic table group transition elements madam ajar pagi tadi” Abu mengajak imran.

“OK lah, aku pun tak faham sangat tadi. Madam ajar laju taw. Aku ni faham-faham jela” Imran bersetuju.

‘’Laju tak laju, tidur tak tidur..haha’’ Abu tergelak sakan.


Memang tak ada lelaki sehebat Imran,
Tapi yang lebih hebat, ramai.
Memang tak ada lelaki seganteng Imran,
Tapi yang lebih ganteng, ramai.
Memang Library tempat discussion,
Tapi tak ada discussion sehebat Imran,
Earphone 24jam kemas di telinga,

Orang bincang study, dia bincang society,
Memang tak ada orang sehebat Imran!
Orang telaah buku, dia telaah mesej,
Memang tak ada orang sehebat Imran!
Orang belek buku, dia belek report meeting,
Memang tak ada orang sehebat Imran!
Orang murajaah pelajaran , dia murajaah posmotem program,
Memang tak ada orang sehebat Imran!
orang berjaya, akhirnya dia tidak sedar dia telah gagal.
( 2jam berlalu : Waktu untuk hal pelajaran telah dicampuradukkan dengan study, society dan muzik. Kejayaan yang terisi dengan kegagalan. Sedarlah yang kamu telah gagal!)

…………………….

Saya rasa terharu bila melihat wajah-wajah kesungguhan anda semua. Saya berasa sangat kuat dan cukup bersemangat bila kamu disisi saling bahu-membahu dalam menjayakan program kita pada hari ini.

Program berjalan penuh bergaya dan kejayaan.
…………………….

Ambang peperiksaan
Um, tolong aku ajar bab trigonometry boleh tak?
Am, tolong aku ajar bab complex compound, alcohol?
Abu, tension lah! Banyak lagi tak terbaca ni. About hinduism, christianity, sikhism bla bla bla……..

Masa dikejar sampai tersedak,
Menanti hukuman bagai pelarian,
Buat ni salah, buat tu salah,
Semua salah!
Last sekali katil jawabnya. Zzzz……………
Semoga berjaya mengejar masa yang telah berlalu.hahaha
Gunakan waktu dengan sebaiknya. All out!

…………………….

Tidak salah melepak dengan kawan di kafe,
Tidak salah meraikan hari istimewa sahabat,
Tidak salah bergurau dengan sahabat,
Tapi salah bila masa dibazirkan tanpa kita sedari.

Sangat bagus bila terlibat dalam society,
Sangat bagus bila bersemangat dalam society,
Sangat bagus bila berkorban demi society,

But listen! Listen! Listen!
Let me speak!

Uruskan masa sebaiknya kerna masa berlalu sering dikejar dihujung kesempitan.