Friday 19 July 2013

JUTAAN MURSI SUDAH BANGKIT


Bangun subuh 4 julai 2013 ibarat bangun dalam subuh yang kelam. Berita kejatuhan kerajaan Mursi amat memilukan hati. Ibarat bak kata teman sepengajian, lebih pilu dari kekalahan PR dalam PRU13.
Awan Mesir bergolak lagi. Kali ini penggulingan Presiden Mursi oleh pihak tentera yang diketuai Abdel Fateh al-Sisi yang turut disokong oleh kumpulan liberalis, sekularis dan sosialis. Karat-karat jahiliah selama lebih 30 tahun, mampukah dipulihkan selama setahun? Oh, teori relatif apakah ini?

Aku bukanlah warganegara Mesir, dan bukan juga pelajar yang menuntut di Mesir tapi aku adalah insan yang dapat merasai kesedihan dunia dengan peristiwa pahit yang menjadi satu sejarah kini. Mungkin sebelum ini kita meratapi kejatuhan empayar agung Usmaniyah. Tetapi kali ini pada zaman kita sendiri kejatuhan kerajaan yang mendokong hukum-hukum Allah dijatuhkan. Kesedihan dunia pada waktu ini membuatkan aku rasa terpanggil untuk memberikan sedikit coretan semangat buat sahabat-sahabat di luar sana.

Sahabat-sahabat,

Sejarah kali ini benar-benar menguji keimanan para pejuang Islam. Adakah perlu terus menentang di jalanan menandakan protes atau terus mengatur strategi lain? Persoalan yang bukan mudah untuk difikirkan dan membuktikan perjuangan islam bukan semudah A,B,C; bukan semudah berdiskusi diawang-awangan tanpa jejak dan bukan semudah memberi arahan. Sesungguhnya pasti ada ujian untuk mengukur sejauh mana kesungguhan kita memperjuangkan Islam.

’’ Patutkah manusia meyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : ‘kami beriman’ , sedangkan mereka tidak diuji? ’’  (Al-Ankabut,2)
Dan aku ucapkan SYABAS! kepada teman yang berusaha dalam susah payah untuk memenangkan PR dalam PRU13 sebelum ini dan setinggi-tinggi SYABAS! kepada yang terus istiqamah walau kemenangan masih tertangguh.

Teman-teman,

Peristiwa pahit ini pasti akan menjadi kajian oleh para penganalisis politik dan jika dibukukan hasil kajian pasti menjadi ‘best seller book’ dan aku sangat yakin menjadi ingatan kepada seluruh abnaul harakah. Sungguh!
Ikhwah dan akhawat,

Demi sesungguhnya setiap perjuangan ada ujiannya dan setiap ujian adalah tapisan-tapisan Allah dalam meneruskan perjuangan ini. Bahkan para sahabat Rasulullah juga di tapis oleh Allah sebelum peperangan Uhud di mana Abdullah bin Ubay telah menghasut sebahagian tentera Islam untuk berpatah balik ke Madinah atas alasan tidak bersetuju dengan cadangannya supaya bertahan di Madinah sahaja. Sehinggakan hampir 300 orang tentera Islam berpatah balik dan yang pasti tentera berbaki adalah tentera yang setia dan sentiasa bersemangat untuk bersama-sama dengan Rasulullah.  

’’ Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan yang nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.’’ (Al-Ankabut,3)

Serangkap lagu ‘Ini Langkahku’ sangat bagus untuk direnungkan :

Ini langkahku,
Yang kan ku hayun,
Walaupun payah,
Tak akan jelak,
Bangkitkan jihad ku !!!

Teguhkan iman, tetapkan hati, teruskan asa, tegapkan langkah, tajamkan pemikiran.
Ingatlah jika semalam seorang Mursi jatuh, hari ini ribuan bahkan jutaan Mursi akan bangkit!
                                                                                           
Dan aku bermohon kepada Allah untuk mengambil tangan-tangan kita supaya kita menjadi orang-orang yang layak untuk mendapat pertolongan dan dokongannya, ya Allah perkenankanlah! Tidakkah aku telah sampaikan ya Allah, maka saksikanlah.

Wallahualam
.

Wednesday 3 July 2013

Masked Rider Anang

Kisah ini kisah benar sahabatku yang sangat aku kagumi hari ini. Seorang yang menguasai isu semasa dan dalam masa yang sama menguasai ilmu-ilmu haraki. Jika berlaku isu-isu kezaliman pemerintah dialah orang pertama antara kami yang bersungguh-sungguh mencari maklumat untuk hebahan kami dan orang ramai. Dan di lapangan dia seorang yang sangat bersemangat menentang saki-baki jahiliah. Dan sungguh aku tak sangka pada waktu kecilnya ada perangai yang sebegini. Jom kita baca.

‘’Cepat-cepat! cerita Masked Rider Ryuki dah nak mula’’ setiap hari ahad tepat jam 5 petang pasti Anang tercongok depan tv menonton aksi kartun kegemarannya Masked Rider Ryuki.
Sedang bermain dengan sahabat-sahabat sepermainan sempat Anang meniru aksi Ryuki.
“Bertukar!” , jerit Anang sambil meniru aksi Ryuki bertukar kostum untuk berlawan dengan pihak musuh.

Bukan waktu bermain sahaja tetapi waktu ingin ke tandas, pergi membantu ibunya di dapur dan bapanya membersihkan halaman rumah juga sempat meniru aksi “bertukar” tersebut.

Sehinggalah naik ke tingkatan 1, Anang tetap setia dengan kartun kesayangannya Masked Rider Ryuki. Dan lebih membanggakan dia berjumpa dengan seorang yang mempunyai minat yang sama, Syarif.

Di sekolah asrama tersebut, mereka bermain bersama. Dan yang paling mencuit hati apabila mereka sama-sama “bertukar” dan berlumba siapa yang sampai dahulu di tandas untuk mandi.

Pada suatu malam yang hening, bebintang berkedipan menemani rembulan yang bersinar penuh. Mereka berdua berimaginasi, muncul sang naga Ryuki yang berkeliaran di langit bagi menandakan kekuatan Ryuki mengalahkan pihak musuh.

Selepas beraksi dengan sang naga perkasa, Syarif mengajak Anang untuk solat sunat hajat bersama untuk menunaikan hasrat mereka untuk menjadi seorang Masked Rider untuk membunuh Presiden GWW Bush yang sangat kejam.

Sehinggalah pada sujud yang terakhir, mereka mengandaikan mereka telah bertukar menjadi seorang pejuang Masked Rider yang gagah perkasa untuk membunuh GWW Bush. Sungguh tak sangka sehingga begini pemikiran sang anak kecil. Zaman sekarang apa la kan….

Sungguh mencuit hati bila membaca kisah ini. Walaupun di alam realitinya dia tidak bertukar menjadi seorang Masked Rider, tetapi semangat menegakkan keadilan dan menentang kezaliman Anang pada hari ini sangat aku kagumi.


::Masked Rider Anang::