Tuesday 17 December 2013

KOS SARA HIDUP MENINGKAT : KEDANGKALAN UMNO-BN



Dr. Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat mengulas kenaikan harga keperluan asas sekarang ibarat kecelakaan yang menimpa rakyat kesan daripada rantaian atau ‘knock-on chain effects’ yang dicetuskan oleh kenaikan bahan-bahan asas seperti bahan bakar petrol dan diesel, gula dan tarif utiliti asas seperti elektrik ini!

PETROL

Mulai 3sept, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20sen. PM,Dato’ Seri Najib menyatakan kenaikan minyak disebabkan untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara.

Kata  Najib: “Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara”

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan menyatakan harga minyak Malaysia adalah ke-8 termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria. Prof Agus mempertikaikan perbandingan ini dengan negara Malaysia yang yang tidak ada atau sedikit sumber petroleumnya dan fakta ini ibarat menafikan fakta harga minyak di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman jauh lebih murah dari Malaysia.

Kalau nak buat perbandingan, kenapa tidak buat perbandingan harga kereta di Indonesia yang menggunakan Kereta mewah seperti Toyota Vios untuk teksi sahaja dan harga rumah di Malaysia yang “over priced” dan kenaikannya yang tidak terkawal?

Kemudian, perkaitan kenaikan harga minyak dengan pemberian BR1M adalah sesuatu yang tidak munasabah sekali. Demikianlah komentar Prof Agus.

GULA

Pada Januari 2012, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Pengguaan & Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian 3 tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga US26 setiap 100lbs.

“Persoalannya sekarang mengapa kerajaan membeli gula mentah dengan harga yang jauh lebih mahal daripada harga pasaran ketika iaitu US23.42? Perbezaan harga kontrak melebihi 10% daripada harga pasaran menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak rm46juta setiap tahun”kata Tony Pua DAP Petaling Jaya Utara yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.

Amaran Tony Pua berkenaan semua laporan penganalisis antarabangsa meramalkan harga gula akan menurun akibat ‘excessive supply’ atau pengeluaran mentah yang terlampau tinggi dipandang sepi apabila dibidas penuh angkuh oleh Timbalan Menteri perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir kononnya ‘harga gula mentah dunia akan terus meningkat pada masa depan’.

Namun sejak januari 2012, harga gula antarabangsa menjunam serendah US16.70 setiap 100lbs pada September 2013. Ini bermakna kerajaan membeli gula dengan 55.7% lebih mahal daripada harga pasaran bulan lalu.

TOL & LEBUHRAYA

Seterusnya jawapan Dato’ Abdul Wahid Omar berkenaan kenaikan kadar tol di 13 lebuhraya turut menambahkan lagi kemarahan rakyat yang disifatkan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat , saudara Suhaizan Kaiat sebagai Menteri gred E.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar telah mengesahkan bahawa kadar tol akan dinaikkan pada tahun 2014 dengan alasan terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya.

Beliau mengulas bahawa kenaikan tidak dapat dielakkan disebabkan perjanjian yang termaktub dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya. YB Dato’ Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang juga tokoh korporat mengatakan ini adalah kesilapan kerajaan pusat sewaktu membuat perjanjian tanpa menyatakan jumlah keuntungan maksimum yang boleh dikutip menyebabkan keuntungan berganda yang melampaui kos perbelanjaan awal. Kenaikan bakal dilaksanakn pada tahun 2014.

Rafizi Ramli yang membentangkan nilai keuntungan syarikat konsesi lebuhraya  (boleh lihat dalam Malaysiakini) baru-baru ini menyifatkan "Setiap kenaikan kadar tol sebenarnya menambahkan lagi keuntungan mereka sedangkan rakyat terus terbeban dengan tekanan ekonomi”.

Tambahnya lagi, “Justeru katanya, walaupun tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan konsesi terlibat tetap naik ekoran margin keuntungan yang kekal tinggi kerana peningkatan kenderaan di lebuh raya sehingga 8.1 peratus. Dalam keadaan kos operasi sudah pun rendah (bagi sesetengah lebuh raya, kos penyenggaraan tidak sampai 10 peratus pun dari kutipan tol), keuntungan yang dinikmati antara yang tertinggi berbanding industri-industri lain. Oleh sebab itu, sebarang kenaikan kadar tol ibarat menghina rakyat pada kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan keuntungan yang sudah pun terlalu tinggi,".

TARIF ELEKTRIK

Harakahdaily melaporkan, bermula Januari 2014 pula rakyat Malaysia pula akan berdepan dengan kenaikan elektrik sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Maximus Ongkili baru-baru ini sebanyak 15 peratus atau 4.99 sen setiap kilowatt, manakala di Sabah dan Labuan berjumlah 5 sen. Satu kenaikan yang sangat ketara.

Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan kenaikan tarif elektrik semacam kerajaan tidak puas menganiaya rakyat dengan kenaikan harga bahan bakar yakni petrol dan diesel serta gula. Semalam Menteri Tenaga, Teknolog Hijau dan Air, Maximus Ongkili mengumumkan bahawa tariff elektrik di Semenanjung dinaikkan dari 33.54 sen/kWj ke 38.53 sen/kWh bersamaan kenaikan 4.99 sen/kWj atau 14.89% (15%).

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj. Kedua-dua kenaikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2014, umum Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili.

Bagi membuktikan bahawa kerajaan prihatin kepada rakyat berpendapatan Maximus berkata kerajaan akan terus memberi subsidi kepada pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Labuan bagi penggunaan bawah 300 kWj sebulan.

Kerajaan katanya akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna-pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20.00 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2014.

Di sini kerajaan Najib-BN tampak samada tak cerdik atau tak peka atau mungkin kedua-duanya sekali. Kesan kenaikan tariff adalah seperti juga ketika kesan gula atau bahan bakar seperti petrol dan diesel dinaikkan. Ingat! Bukan beban bukan hanya pada harga bahan tersebut yang menghempit rakyat.

Kecelakaan yang menimpa rakyat adalah kesan rantaian atau ‘knock-on chain effects’ yang dicetuskan oleh kenaikan bahan-bahan asas seperti bahan bakar petrol dan diesel, gula dan tarif utiliti asas seperti elektrik ini! Jelasnya kenaikan ini mencetuskan pelbagai barang makanan dan minuman juga perkhidmatan yang melibatkan tenaga dan elektrik yang bakal mengalami kenaikan harga.

Betullah kerajaan boleh membantu rakyat dengan pelbagai kaedah termasuk pembayaran rebat bagi melindungi golongan berpendapatan rendah. Tapi jangan sampai untung secupak, rugi segantang! Demikianlah komen sindiran juga kritikan tegas Dr. Dzulkefly dalam blog rasminya.

ASTRO

Koordinator Panatia Ekonomi Jingga13 Malaysia, Zainal Abidin Bin Abu Bakar berkata seluruh pengguna Astro pula berdepan dengan kenaikan RM2 bagi Pakej Famili dan RM6 bagi Pakej Sukan yang telah berkuatkuasa 11 November 2013 turut menambahkan tekanan pada lebih 3 juta pengguna Astro yang terpaksa membayar kenaikan pakej tersebut sedangkan Astro umumkan perolehan RM2.3 Billion untuk 6 bulan pertama berakhir 31 Januari 2014 iaitu peningkatan 13 peratus.

Sedangkan, katanya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia mempunyai kuasa terhadap mengawal dan menentukan harga pakej langanan yang ditawarkan Astro.

LRT & MONOREL

Kenaikan kadar tiket perkhidmatan awam berasaskan elektrik seperti LRT & Monorel yang merupakan ‘domino effect’ daripada kenaikan tariff elektrik.

KEMELESATAN EKONOMI 2016

Sebagai pengakhiran daripada artikel ini, suka saya berkongsi berkenaan unjuran kemelesetan ekonomi negara lewat 2016 oleh Azrul Azwar Tajudin Pengurus Tugas Khas, Analisa Ekonomi & Kewangan Pejabat Menteri Besar Selangor yang percaya perlaksanaan GST perlu ditangguhkan dan kerajaan sepatutnya menumpu kepada ketelusan pengurusan kewangan negara terlebih dahulu di samping ia berkait rapat dengan fenomena pecahnya gelembung sektor harta tanah(property bubble burst).

Beliau mengatakan ekonomi Malaysia bertambah teruk dan langkah kerajaan melalui Pelan Rasionalisasi Subsidi(SRP) serta cukai perkhidmatan dan barangan(GST) hanya membawa kepada kemelesetan ekonomi dalam tempoh tidak sampai 3 tahun akan datang. Antara faktor utama ialah pecahnya gelembung sektor hartanah dan kerana itu GST perlu ditangguhkan.

Beliau menambah lagi, perlaksanaan GST bakal memberikan kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) yang menyebabkan kesan teruk 4% inflasi yang memberi kesan negatif yang teruk kepada realiti hidup rakyat biasa walaupun hanya 4%.

Azrul juga menambah factor hutang isi rumah berbanding pendapatan boleh guna juga meningkat sehingga 140%, lebih tinggi daripada Amerika Syarikat pada 123%.

SKETSA KOMEDI BODOH PARA MENTERI UMNO-BN

Di saat rakyat terseksa dengan segala kenaikan harga keperluan asas, amat mudah para menteri Malaysia memberikan komentar dan jawapan. Berikut adalah skema jawapan yang biasa kedengaran bagi memperbodohkan rakyat.

Isu kenaikan kadar Tol: Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri : “Pengguna boleh guna jalan biasa jika menganggap kenaikan tol terlalu tinggi”

Gst : Dato Seri Najib Razak, PM: “Usahlah bimbang, janganlah risau. GST tidak dikenakan kepada garam, kacang dhal, ikan masin, cencalok,budu dan belacan”

PRU:  Zahid hamidi, Menteri Dalam Negeri, Naib Presiden Umno : “Jika tak suka sistem politik negara ini, sila berhijrah ke negara yang buat pilihan raya ikut kaedah yang digemari”.

Disokong Datuk Noh Omar dengan menambah “sewajarnya duduk di dalam hutan”

Kenaikan harga Ayam : Datuk Hasan Malek, Menteri Perdagangan Antarabangsa:
“Kalau tengok harga(ayam) naik, jangan beli ayam tapi beli daging pula”.

Kenaikan harga Gula: DS Najib Razak, PM: “Untuk mengatasi masalah diabetis harga gula dinaikkan”.

Kenaikan harga Gula: Menteri kesihatan ,Datuk seri dr S.subramaniam : “Rakyat dinasihatkan jangan makan gula untuk hidup lebih lama”.

Penulis pun terasa dirinya bodoh jika mengumpul semua jawapan dangkal menteri-menteri yang banyak lagi boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

:: Aku kepingin Jiwa Merdeka! ::

PAS & DEMOKRASI : HALA TUJU PAS DALAM DEMOKRASI



‘The only permanent thing that happens in the universe is CHANGE’. Maksudnya satu-satu perkara yang tetap berlaku pada alam ini adalah Perubahan. Adakalanya perubahan ini adalah hasil usaha dan pilihan kita dan adakalanya perubahan ini dipaksakan ke atas kita. Kegagalan dalam menerima perubahan juga akan mendatangkan kesan ke atas kita. Maka pengurusan perubahan ini perlu dilakukan supaya perubahan ini selari dengan perubahan zaman. Islam itu sesuai sepanjang zaman. Adalah menjadi satu kesalahan sesiapa yang menampakkan Islam ketinggalan zaman. Maka ubahlah diri demi islam yang sentiasa melangkaui zaman.

PAS sebagai Parti Islam di Malaysia dilihat sebuah parti yang semakin berkembang dengan penyokong dan pendokong dari pelbagai kelompok, samada ulama’, profesional dan aktivis. Boleh dikatakan PAS merupakan sebuah parti yang tahan dengan pelbagai ujian kerana sehingga kini masih lagi bertahan walau diserang dari pelbagai sudut. Maka dengan kekuatan ‘kepimpinan Ulama’ yang telah digagaskan oleh Dewan Pemuda pada tahun 1982 yang diharmonikan dengan kumpulan profesional dan dokongan kuat daripada aktivis, PAS dapat menangkis segala fitnah dan sentiasa relevan dalam mendepani masalah masyarakat Malaysia.

Presiden PAS sangat tegas dengan pendirian PAS berkenaan perjuangan menegakkan syariat Islam melalui wasilah(jalan) demokrasi yang adil. Walaupun seringkali berhadapan dengan demokrasi yang tempang, PAS tetap berazam dengan cita-cita murninya dalam kerangka demokrasi dan perlembagaan negara. Dengan ciri Islam yang universal, kita menerima segala kebaikan walaupun kebaikan itu dari Barat dengan tatanan para ulama’ dalam berijtihad berkenaan penerimaan demokrasi di Malaysia dan perlembagaan Malaysia yang terdapat cacat celanya tetapi boleh diubah mengikut roh reformasi semasa..

Hadis Nabi Rasulullah s.a.w: Kebijaksanaan adalah barang hilang kepunyaan orang mukmin, maka sesiapa orang Islam yang mendapatinya maka ia lebih berhak untuk menggunakannya.

1) Melihat keadaan sekarang di mana pelbagai isu berkenaan agama Islam di canang-canangkan bagi mendapat sokongan rakyat. Maka, PAS dengan tegasnya berpendirian isu-isu agama yang sarat dengan hukum syariatnya dan bersendikan rujukan Al-quran dan As-sunnah perlu diurus sebaiknya mengikut lunas-lunas demokrasi bagi menjamin keharmonian kebebasan beragama di Malaysia. Bukan menjadi senjata untuk menimbulkan kesangsian sesama agama.

Sungguh jelas lagi bersuluh sepertimana usaha Kerajaan PAS Kelantan dalam melaksanakan Hukum Hudud mengikut lunas-lunas demokrasi dan perlembagaan negara. Setelah memenangi PRU 1991, kajian mendalam telah dilakukan untuk digazetkan dalam undang-undang negeri. Keikhlasan PAS juga terserlah dengan seminar yang dilaksanakan yang dijemput semua pihak dan pelbagai agama untuk mendapatkan ‘feedback’ dari semua lapisan masyarakat dan menerangkan sebarang ketidakfahaman mereka. Surat bekas Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz juga telah diberi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir untuk melaksanakan hudud tetapi bukan sokongan yang diberi bahkan ancaman yang dilemparkan. Maka apa lagi yang PAS perlu lakukan? sila nyatakan dan jangan jadikan bola tanggung untuk mengelirukan masyarakat dengan kekeliruan yang sedia ada.

Dalam mendepani permasalahan masyarakat, Pas yang dipandu oleh majlis syura ulama’nya telah berijtihad mengikut keadaan dan peredaran semasa seperti mana ijtihad penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri daripada golongan non-muslim dan gagasan baru Negara Berkebajikan dan Pas For All. Pada hari ini kita melihat semakin ramai non-muslim yang semakin mesra dengan Pas walaupun suatu masa dahulu Pas sering disimbolikkan sebagai sebuah parti untuk golongan pak haji pakai kopiah dan kita melihat bagaimana Pas sedikit sebanyak dapat memberi penerangan kepada non-muslim berkenaan Islam sebenar berbanding Islam versi Umno. Justeru, PAS menerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah dengan bantuan Dewan Ulama’, Pemuda dan Muslimat mestilah menggembling tenaga bagi memikul amanah ini.

Seterusnya untuk memperlihatkan kenasionalan PAS, saranan Presiden PAS perlu diambil perhatian oleh semua pimpinan PAS agar pimpinan PAS mampu menguasai dinamika topik semasa seperti perlembagaan negara, pentadbiran kerajaan, hak asasi manusia, sistem kewangan, isu kewanitaan, alam sekitar dan kekeluargaan supaya dapat mengupas dengan lebih terperinci dan dapat menjadikan retorik ‘PAS for all’ membumi kepada seluruh rakyat.

2) Pendidikan adalah sesuatu keperluan kepada setiap insan. Apatah lagi sebagai manusia yang dikurniakan akal yang boleh berfikir dan membuat timbang tara antara baik dan buruk. Ibnu Khaldun ada menyebut bahawa pendidikan adalah sebagai suatu proses persiapan seseorang dari segi manusiawi mengikut ajaran Islam bagi menyuburkan potensi iman, membentuk akhlak yang tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan ilmu, menyediakan seseorang dari segi kemasyarakatan, persediaan untuk pekerjaan, membentuk pemikiran dan juga menyesuaikan diri.

PAS sangat konsisten dalam parlimen untuk mengkritik dan memberi timbang tara terhadap dasar-dasar pendidikan negara.  Dengan dasar-dasar yang tiada pendirian yang tetap  dan sering berubah setiap kali perubahan menteri yang memegang portfolio pendidikan. Seolah-olah pelajar dan guru adalah alat uji-kaji tanpa disedari dan tidak dapat memanfaatkan potensi para guru dalam mendidik dengan disibukkan dengan kerja-kerja perkeranian. Potensi para pelajar juga tidak dapat digilap dengan sebaiknya. Tanpa perlu dibincangkan keberhasilan melahirkan para pelajar yang beriman dan berakhlak mulia. Kita melihat orang Melayu Islam juga yang menjadi juara di dalam pusat-pusat pemulihan ahklak.

PAS menuntut supaya :

a) Kerajaan Malaysia mestilah memperakui hak asasi umat Islam dalam pendidikan dengan menerima sistem pendidikan Islam sebagai salah satu sistem pendidikan arus perdana sekaligus membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR).

b) Hak asasi manusia bagi semua rakyat pelbagai kaum dalam negara hendaklah dijamin, di mana hak mana-mana kaum untuk mendalami bahasa ibunda mereka mestilah diperkukuhkan supaya wujudnya ruang terbuka bagi menambah kemahiran berbahasa dalam negara kita. PAS tidak mahu dasar pembangunan pendidikan yang dilakukan terpisah daripada tradisi budaya bangsa kerana matlamat pendidikan adalah untuk kebaikan manusia melalui sifat ihsan mereka di samping menolak sifat melakukan kerosakan.

PAS secara konsisten mempertahankan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang selama ini dipandang enteng oleh kerajaan. Suara sumbang kerajaan, berkenaan PAS mengkhianati agama ibarat meludah ke langit terkena batang hidung sendiri. Buktinya, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik menyatakan ketiadaan peruntukan untuk SAR membuktikan kefahaman kerajaan terhadap pendidikan Islam masih terbatas dengan mengganggap ia sebagai mata pelajaran sahaja, bukan sebagai institusi penting dan menyeluruh. Sementelahan itu, pada 11 Oktober 2012 memperlihatkan wakil pendidik dan pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kesedaran yang jelas berkenaan kepentingan SAR telah berhimpun di depan Dewan Parlimen bagi membantah pengabaian peruntukan kepada sekolah agama dalam pembentangan Belanjawan Negara 2013 dan menuntut kerajaan menambah geran bantuan perkapita yang sedia ada, bantuan modal, buku teks, bantuan guru akademik dan bantuan-bantuan lain bagi melicinkan pentadbiran SAR.

Justeru itu, usaha PAS dalam membantu pembangunan sekolah-sekolah agama rakyat melalui Majlis Kebajikan & Pembangunan Pendidikan (MAKPEN) hendaklah disokong sepenuhnya. Dengan keupayaan & kelebihan yang ada, ahli PAS perlu menjadi pendokong dalam setiap peringkat institusi pendidikan agar transformasi & reformasi pendidikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Seterusnya, PAS melihat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 tidak memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu pendidikan ini apabila urusan ini diberi kepada konsultan luar negara dengan kos RM20 juta. Seolah-olah orang asing yang membentuk acuan pendidikan negara yang berbeza waqi’nya dan menggambarkan ketidakpercayaan kerajaan terhadap anak nusa bangsa sendiri.
PAS juga menyarankan agar institusi wajar diberikan autonomi  yang lebih dalam berbagai sudut tertentu sebagai contoh pemilihan Naib Canselor dilantik oleh Mahaguru di universiti tersebut dan bukan dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi kerana mereka lebih mengenali keadaan dan keperluan semasa di kampus tersebut. Bertujuan khusus untuk meningkat kesarjanaan tulen dan bukan menjadi pengampu politik berselindung di sebalik jubah akademik.

Penulis berharap sedikit sebanyak pembaca dapat memahami hala tuju PAS dalam kerangka demokrasi selain dapat menilai usaha-usaha murni dan pendirian  PAS dalam menangani isu-isu besar negara yang mempunyai perkaitan yang sangat besar iaitu agama dan pendidikan. Dengan media massa arus perdana yang sangat kejam terhadap PAS, maka penulis terpanggil untuk memberi sedikit pencerahan berkenaan isu-isu penting negara. 

Ruang mengkritik dan perbincangan sangat terbuka luas dengan syarat beradab. Kaedah mengongkong serta mencantas segala pendapat dan suara rakyat bakal membangkitkan kuasa rakyat. Maka, jangan terlalu ‘asyik’ di atas pelamin kuasa.