Selasa 18 Jun 2013, akhbar Berita Harian melaporkan Dr.
Mahathir menyokong cadangan supaya jawatan Presiden & Timbalan Presiden
UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akhir tahun ini bagi
mengelakkan perpecahan.
“ Pada asasnya saya menyokong jika ada pertandingan kerana
ia akan menyuburkan amalan demokrasi tetapi orang Malaysia tidak begitu faham
amalan demokrasi yang sebenar. Jika kalah mereka menubuhkan parti lain,
sekaligus menyebabkan orang Melayu dan UMNO berpecah.” Kata Tun Dr. Mahathir.
Kenyataan Dr M menggambarkan ketempangan besar sedang
berlaku dalam UMNO selain gagal mempertahankan 140 kerusi parlimen yang
dimenangi dalam PRU12. Ahli veteran UMNO juga bekas Presiden UMNO, itulah dia
Dr M yang semakin dia bercakap semakin jelas ketempangan yang berlaku dalam BN,
UMNO khususnya.
Selama 50 tahun menerajui Malaysia, UMNO gagal mengajar rakyat
demokrasi sebenar. Ini yang patut pimpinan UMNO muhasabahkan. Apakah latihan
kepimpinan yang diberikan kepada generasi pelapis UMNO? Jika bab demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negara sudah gagal, apatah lagi bahagian ekonomi yang semakin meruncing cabarannya.
Belum lagi disentuh bab mempertahankan agama Islam. Islam
yang digambarkan dalam pentadbiran BN gagal meyakinkan non-muslim bahawa Islam
adalah agama yang telus dan bersih dari rasuah.
Selain gagal menyuburkan asas-asas amalan demokrasi dalam
kalangan rakyat Malaysia, UMNO juga kena mesti menerima kenyataan bahawa
perpecahan yang semakin membarah dalam UMNO. Demikianlah kerisauan yang sangat
dikhuatiri oleh Dr M.
Ibaratnya seperti sebuah pasu kaca yang retak menanti belah
sahaja. Bahkan jika disentuh maka hancur berkecailah UMNO.
Pendirian penulis, amalkanlah demokrasi yang matang dan janganlah takut untuk dicabar. Biarkan yang sedikit yang mungkin tidak menyokong Dato' Seri Najib dapat menyuarakan pendapatnya melalui undian.
Anggaplah kritikan ini dari anak muda yang dibesarkan dalam keluarga yang menyokong UMNO..
No comments:
Post a Comment