Saturday 7 September 2013

Semangat HADI

Hadi mencari sang ayah yang baru pulang dari kerja.

’’ Ayah penat tak?’’ tanya Hadi yang sangat menyayangi ayahnya.

Sambil memeluk Hadi, sang ayah tersenyum melihat anaknya. “ Hadi buat apa kat rumah? Tolong ibu tak di rumah? “

“ Hadi tolong sekejap je. Lepas tu Hadi pergi keluar ke hutan dan dapat panah dua ekor burung” jawab Hadi penuh sopan.

“ Wah, hebat anak ayah ni. Lepas ni ikut ayah pergi berguru silat ya ?’’ kata ayahnya. Sungguh anakku ada potensi untuk menjadi seorang perwira Islam terbilang, getus hati ayah.

Hadi mengangguk tanpa bantahan walhal hatinya sangat girang kerana berjaya meyakinkan ayahnya untuk belajar seni mempertahankan diri.
                              …………………………………………………………………

Setelah lima tahun berguru dengan Tuan Guru Solihien asy-Syatiri di Gunung Semanggol, maka tibalah masanya Hadi pulang ke rumahnya. Selain belajar silat, Hadi juga mendalami ilmu-ilmu agama seperti akidah, tauhid, tasawwuf dan lain-lain. Dan di gunung itulah sebuah gerakan Islam lahir dengan kekuatan iman dan ilmu para ulama’ yang sering berkumpul disitu.

Masih terngiang-ngiang pesanan ayah ketika menghantarnya ke sana.

“ Hasrat ayah ingin melihat Hadi menjadi seorang ulama’ yang adil dan seorang pahlawan yang berani. Kelak nanti jadilah kau seorang ulama’ yang perkasa. Duduklah disini jangan kau pulang ke rumah selagi kau tidak tamat belajar”

Juga harapan ibunya;
“ Hadi anakku sayang, pergilah engkau menuntut ilmu. Ibu sentiasa meredhai jejak langkahmu anakku. Hati seorang ibu sangat bangga bila dapat melahirkan seorang anak pemuda yang hidupnya hidup mulia dan matinya mati syahid di jalan Allah’’

Masih terasa hangat pelukan ibu ayah dan air mata ibu yang ditahan-tahan itu meruntun hatinya dan membakar semangatnya untuk lebih cekal. Hatiku basah mengenangkan semua ini.

Pintu rumah Tuan Guru Solihien di ketuk kemas. Risau mengganggu istirehatnya. Salam diberi seadanya.

’’ Waalaikumussalam, oh Hadi, bila mahu berangkat ?’’ soal tuan guru.

’’ Sebentar lagi ustaz.’’ Jawabku penuh kesopanan.

’’Ustaz nasihatkan kamu untuk sambung pengajian di Indonesia Raya. Di sana ramai tuan guru yang faqih. Dan sesuailah dengan kamu yang masih muda. Allah pasti memberi berkah kepada kamu Insya-Allah.’’ Kata ustaz diselit doa penuh makna.

Setelah selesai berjumpa dengan tuan guru, langkahku sangat berat menuju ke pintu pagar Madrasah al-Falah. Tiba di pondok usang depan pagar, rasa ada tangan yang menyentuh bahuku. Lalu aku berpaling ke belakang. Lalu dia terus memelukku.

’’Antara tanda ukhwah sejati adalah menerima nasihat sahabat, menjaga kehormatan sahabat dan maafkan kesalahan sahabat. Maafkan aku dan terima kasih kerana sanggup menjadi sahabat aku selama ini’’

’’Aku takkan lupa segala kenangan kita bersama dan yang paling penting ‘OREO’.’’ Kata sahabat Aqif. Dalam sendu ada senda.

Hati tak terucap sepatah kata. Genangan air mata terus mengalir tanpa ada halangan. Kali pertama aku mengalirkan air mata di bahu Aqif, sahabat sejati selama lima tahun di madrasah.

Suasana hening seketika. Aqif seolah-olah memberi aku ruang untuk melepaskan segalanya. Terkadang ukhwah sejati tidak perlukan kata-kata untuk berbicara, cukup dengan hati yang saling memahami… 
                                ………………………………………………………………….

Perjalanan selama sehari dari Gunung Semanggol ke Mersing sangat mencabar. Dengan Hutan Titiwangsa yang sangat tebal dan menempuh beberapa pekan yang hiruk pikuk sangat mencabar.

Kebiasaannya dua tiga hari baru sampai, tapi disebabkan bersendirian mudah untuk Hadi bergerak tanpa perlu memikirkan keselamatan orang lain. Apatah lagi kerinduan semakin menebal dalam jiwa.

Di kesejukan subuh itu Hadi menggigil dan dikejauhan dia terlihat rumahnya. Suara ibu ayah memanggil, bagai menerjah gegendang telinga. Langkahnya semakin deras.

Tiba-tiba langkahnya terpaku.

Sayup kedengaran ayahnya mengerang kesakitan perlahan sambil terbatuk-batuk. 

“ Allah, aduh..Salmah! berapa lama lagi anak kita di sana?”

“ Sabarlah ayahnya, mungkin bulan hadapan dia tamatlah tu pengajiannya.” Jawab ibuku lembut.

“ Hadi disini ayah!” tanpa beri salam dia terus menerpa ke dalam rumah mencari ibu ayahnya. 

Ayahnya dipeluk penuh kerinduan. Lima tahun terpisah sudah banyak berubah wajah ayahnya yang penuh kedutan dan tak segagah dahulu. Sekali lagi empangan air matanya pecah kini dihadapan ibu dan ayahnya yang sangat merindui anak tunggalnya ini.

                               ………………………………………………………………………..

Sudah empat hari dia berada dalam kapal. Empat hari itu juga dia memikirkan ibu yang di kejauhan.

Hati rasa menyesal meluahkan hasrat hati ingin ke Riau menuntut ilmu atas pesanan dari tuan guru Solihien dua minggu sebelum kematian ayahnya. Pada waktu itu ayahnya seakan sudah bertenaga semula dan Hadi rasa sangat sesuai untuk meluahkan hasratnya pada ketika itu.

Namun, hati sang anak siapalah yang sanggup meninggalkan ibu keseorangan yang baru kematian suami sebulan yang lalu. Tapi ibu sangat tabah.

“ Pergilah ke Riau sana. Banyak tok guru ilmuan besar di sana. Semasa ayah masih hidup memang ibu dan ayah sudah merancang untuk menghantar kau ke sana nak.” Lembut ibu menuturkan kata.

“ Janganlah kau risau ibu di sini.’’ Kata ibu seakan memahami lubuk hatiku.

“ Ambillah sekarung duit ini buat bekalan ke sana. Ayah dan ibu memang simpan buat bekalan Hadi ke sana. Gunalah jimat-jimat.” Hadi mengusap air mata ibunya.

“ Perpisahan ini pasti ada berkatnya ibu. Doakan perjalanan Hadi ibu, ampunkan kesalahan Hadi ibu, terima kasih atas segalanya ibu, Hadi sayang ibu. Assalamualaikum ibu’’ Hadi salam dan memeluk erat ibunya.

                                  …………………………………………………………………

Bumi Riau seakan memang menunggu ketibaan orang muda sepertinya. Di sana seolah-olah syurga ilmu. Madrasah-madrasah banyak di buka. Kegiatan ceramah juga kerap di buat. Baik untuk golongan tua, untuk remaja dan kuliah khas wanita pun ada.

Hasil kegigihannya, Hadi berjaya menguasai ilmu hadis dan ilmu tafsir selama 5 tahun di sana disamping berjaya menghafaz al-quran.

Bahkan Hadi sangat disenangi oleh masyarakat sekeliling sehingga digelar Hadi asadullah kerana kemahiran mempertahankan dirinya yang kemas dan tangkas.

Sehinggalah pada suatu hari, berlakunya serangan Belanda ke atas Indonesia Raya. Ramai orang Islam yang terbunuh. Anak muda ditangkap untuk menjadi buruh kasar. Kaum wanita habis semua dirogol dan pancung.

Pada saat itu, kawasan madrasah-madrasah yang terdapat di Indonesia adalah benteng terakhir umat islam. 

Dengan kelebihan yang ada, Hadi menawarkan diri untuk mengajar sahabat-sahabat semadrasah dan orang ramai untuk belajar ilmu silat yang dikuasainya. Mungkin tidak setanding dengan senapang dan pistol askar Belanda. Tetapi keimanan yang kukuh tiada siapa mampu goncangkan hati mereka.

                                    ..……………………………………………………………….

Keluarga keSultanan Indonesia Raya dan sebatalion mujahid islam sudah selamat sampai berselindung di Madrasah al-Ansor. Tetapi kelibat tuanku sultan Indonesia Raya tidak lagi kelihatan. Dikhabarkan baginda sedang membantu mujahid-mujahid di luar sana, memandangkan tentera islam di dalam kesempitan dan baginda mengarahkan sekumpulan askar berselindung dan merancang strategi bagi menghalau tentera zalim Belanda laknatullah dari bumi bakkah Riau.

Hadi dengan keilmuan dan kemahiran peperangan yang dimiliki diberi kepercayaan menjadi Panglima perang sedang berbincang beberapa strategi bersama empat orang panglima yang lain.

“Musuh semakin berani merobek keamanan Indonesia Raya ini. Sudah banyak strategi yang dirancang, tetapi apa kan daya musuh penuh dengan kelengkapan senjata. Tipu muslihat hubungan diplomatik dengan Belanda seakan perjanjian sampah. Seolah-olah kesultanan Indonesia Riau ini tiada maruahnya. Wilayah Jawa Jaya dan Sumatera juga sudah di kuasainya.Wahai panglima sekalian, beta mengharapkan strategi yang berkesan daripada kamu semua” jelas Sultan Riau yang terlibat sama dalam perbincanan.

“Memandangkan kekuatan kita semakin berkurangan dan musuh yang semakin banyak menguasai wilayah-wilayah kesultanan Indonesia Raya, maka saya mencadangkan gunung Riau ini kita jadikan kubu pertahanan terakhir kita dan kita mesti melumpuhkan jentera-jentera besar musuh dan meriam-meriam memandangkan musuh sangat bergantung dengannya dalam setiap peperangan. Yang lebih penting kita mesti menggunakan sebaiknya kelebihan keadaan muka bumi Riau ini.” Hadi tenang memberi cadangannya.

“Bagaimana nak lumpuhkan jentera dan meriam musuh?” Panglima Iskandar seolah tidak yakin dengan idea daripada Hadi sedangkan jentera musuh sangat ampuh untuk ditumbangkan.

“ Terima kasih bertanya. Bahagian timur gunung terdapat jeram yang deras untuk dilalui musuh. Meriam musuh memerlukan sekurang-kurangnya lima ratus orang tentera mengangkatnya. Jadi sangat mustahil mereka melepasinya. Bahagian utara penuh dengan hutan yang sangat tebal dan sangat cerun pergunungannya. Sangat sesuai jika kita membina perangkap-perangkap berat dan mustahil untuk jentera musuh menembusinya. Bahagian barat dan selatan sahaja yang mungkin agak terbuka sedikit. Dan saya nampak peluang kita dari kelemahan ini”

Sementara sultan dan 3 orang panglima yang lain tekun mendengarnya.

 “ Pertama sekali, walaupun agak terbuka tetapi sukar musuh menembusi dengan jentera-jenteranya dan boleh melambatkan pergerakan musuh. Kemudian kita boleh bina parit yang sangat dalam sepanjang 100 batu. Memandangkan tentera bantuan seramai 25 000 orang dari wilayah Semanggol akan tiba pada malam ini. Patik sangat yakin kita mampu melakukannya” tanpa ragu Hadi memberikan cadangan.

“ Tetapi jika membina parit kita akan terkepung lebih sebulan dan cukup untuk Belanda mendapat bantuan tentera bantuan memandangkan mereka juga ada tanah jajahan di sekitar Asia ini selain mereka boleh menebang pokok-pokok untuk dijadikan titi parit”
panglima Omar mencelah.

“Sebab itu patik katakan, kita mesti gunakan segala kemahiran tentera kita yang sangat cekap berperang dikawasan hutan tebal, jeram dan cerun curam gunung. Kalau takut musuh bina titi kita ada tentera gempur kita yang hebat. Tiada tentera yang lebih hebat di hutan Riau melainkan tentera Riau sendiri.” Jelas Hadi ringkas.

Saya bersetuju dengan cadangan ini. Cuma kita perlu menyerang habis-habisan supaya mereka hancur dan lari dari negara ini.” Semua panglima bersetuju dengan kata-kata Panglima Omar. 

Sultan juga menampakkan keyakinan dengan strategi ini.

Setelah berbincang berkenaan taktik-taktik serangan secara terperinci, gerakan berjaga-jaga di bahagian timur dan utara, dan pembahagian jumlah kumpulan tentera mereka pun bersurai bagi meneruskan gerakan-gerakan yang telah diaturkan.

Arahan dari sultan supaya semua tentera wajib mengerjakan qiamullail pada setiap malam dan baginda sendiri yang pergi melawat setiap khemah tentera sama ada solat malam atau tidak.

Bagi menggerunkan pihak musuh pada waktu malam, mereka memasang obor sebanyak yang boleh bagi menggambarkan kekuatan tentera Islam.

               ………………………………………………………………………………………………

Pada waktu peperangan kelihatan pihak musuh sangat terkejut dengan perangkap-perangkap tentera Islam. 

Cerun yang curam di bahagian utara memberi kelebihan kepada tentera islam memanah musuh yang dibawah tanpa musuh dapat memberi serangan balas. 

Bahagian timur berlaku sedikit pertempuran, tetapi kemahiran tentera Islam di kawasan jeram memberi kelebihan kepada tentera Islam menghapuskan semua tentera Belanda.

Gerakan musuh dibahagian terbuka seakan terhenti seketika dengan berhadapan parit yang dalam, lebar dan panjang. Usaha-usaha tentera musuh untuk melepasi parit hanya merugikan mereka apabila diserang mudah oleh tentera Islam.

Diceritakan ada seorang Panglima tentera Belanda yang secara senyap telah memeluk Islam. Dan dengan helahnya telah berjaya memboloskan dirinya untuk menghadap Sultan Riau. Panglima Belanda itu dengan jujurnya telah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan sultan dengan lancarnya dan bersumpah untuk membantu tentera Islam dengan membawa berita palsu kepada Gabenornya.

Apa berita yang ingin kau sampaikan kepada ketua engkau? Tanya Sultan.

“Aku akan sampaikan berita serangan balas tentera Islam ke atas wilayah Jawa Jaya dan memerlukan bantuan tentera segera. Apabila bilangan tentera Belanda berkurangan bolehlah tuanku menyerang mereka dengan mudah sekali. Lagi pun, jentera-jentera dan meriam-meriam kami tidak dapat melepasi hutan ini. Bahkan untuk makluman tuanku, tentera kami agak gerun dengan sebaris tentera berpakaian putih yang berjaga di seberang parit” panglima Belanda bersungguh memberi kenyataan diselitkan dengan maklumat keadaan tentera yang dalam keadaan lemah.

Baginda Sultan bersetuju dengan cadangannya memandangkan jika dia mengkhianati tiada sebarang kerugian di pihak tentera Islam. Bahkan dia merupakan panglima tentera Belanda, orang kepercayaan Gabenornya. Mustahil Gabenornya tidak percaya.

Dan sungguh! Tentera Putih, petanda pertolongan Allah sudah turun kepada hambaNya yang benar-benar mengharap.

Sehinggalah pada malam kedua, kelihatan satu per tiga tentera Belanda telah berpusu-pusu meninggalkan tempat peperangan ditambah dengan hujan lebat yang turun dan cuaca yang sejuk menyebabkan ramai tentera Belanda yang tidak dapat bertahan dan ingin pergi ke Jawa Jaya.

Pada hari ketiga kelihatan gerakan tentera Belanda menebang pokok untuk dijadikan jambatan melepasi parit. Lalu pada saat itu juga tentera Islam bergajah menyerang tentera Belanda. Gempuran tentera bergajah berjaya menghalang mereka melepasi parit dan menyebabkan ramai tentera Belanda terbunuh. Musuh terlupa dengan kekuatan Riau yang kaya dengan gajah-gajahnya yang perkasa.

Pada saat tentera Belanda dalam kelemasan dengan tentera bergajah, 30ribu tentera Islam turun menyerbu tentera Belanda. Dalam gempuran bertenaga itu Hadi menunjukkan kegagahannya sebagai Panglima tentera Islam.

“Jihad, Jihad, Sabiluna!”

“Al-Mautu fi sabilillah asma amanina!”

Laungan Hadi disahut tentera Islam cukup menggemparkan dan menggerunkan hati tentera musuh.

Libasan pedang Hadi menampakkan keperwiraan Hadi. Walaupun tentera Islam terpaksa berhadapan dengan hujan peluru dari tentera musuh tetapi seolah-olah peluru yang tertujah di badan mereka hilang fungsinya. 

Memang benarlah kata seorang ulama’,  ''Apabila kemuncak kezaliman bertemu kemuncak kesabaran, maka pertolongan Allah akan turun''.

Sehinggalah akhirnya, tentera Islam berjaya menghancurkan tentera Belanda. Sewaktu operasi pembersihan mayat-mayat tentera. Aqif tentera bantuan dari Semanggol terjumpa sekujur tubuh tentera Islam yang dalam nyawa-nyawa ikan.

“Hadi?! Panglima Hadi ke ni?!!”, soalan Aqif dijawab dengan anggukan sahaja.

“Aqif, aku tak sabar ingin ke sana. Sahabat sejati pasti berjumpa di syurga’’ Hadi bersuara tersekat-sekat.

Hanya linangan air mata Aqif sahaja yang mampu bersuara.
Hanya linangan air mata yang bersuara dengan perpisahan abadi ini.

“Jika dahulu engkau yang menangis tetapi kali ini aku pula ya asadullah” getus Aqif perlahan.

Jika dahulu engkau yang menangis, tapi kali ini giliran aku pula.
Jika sekarang giliran kau kembali kepada Rabbi, esok pasti giliran aku.

               …………………………………………………………………………………………


Alhamdulillah, setelah perbincangan kedai kopi dengan Ali Hadi terbukti beliau seorang yang sangat idealistik. Seorang yang memandang kehadapan selain berakhlak mulia. Biarlah tidak sehebat Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tapi semangat “Hadi” yang membara dalam jiwanya sangat membanggakan. Alangkah rugi jika tidak mendampingi sahabat seperti beliau.

Tribute to Ali Hadi Abu Hanifah~

2 comments: