‘The only permanent thing that
happens in the universe is CHANGE’. Maksudnya satu-satu perkara yang tetap
berlaku pada alam ini adalah Perubahan. Adakalanya perubahan ini adalah hasil
usaha dan pilihan kita dan adakalanya perubahan ini dipaksakan ke atas kita.
Kegagalan dalam menerima perubahan juga akan mendatangkan kesan ke atas kita. Maka
pengurusan perubahan ini perlu dilakukan supaya perubahan ini selari dengan
perubahan zaman. Islam itu sesuai sepanjang zaman. Adalah menjadi satu
kesalahan sesiapa yang menampakkan Islam ketinggalan zaman. Maka ubahlah diri
demi islam yang sentiasa melangkaui zaman.
PAS sebagai Parti Islam di
Malaysia dilihat sebuah parti yang semakin berkembang dengan penyokong dan
pendokong dari pelbagai kelompok, samada ulama’, profesional dan aktivis. Boleh
dikatakan PAS merupakan sebuah parti yang tahan dengan pelbagai ujian kerana
sehingga kini masih lagi bertahan walau diserang dari pelbagai sudut. Maka
dengan kekuatan ‘kepimpinan Ulama’ yang telah digagaskan oleh Dewan Pemuda pada
tahun 1982 yang diharmonikan dengan kumpulan profesional dan dokongan kuat
daripada aktivis, PAS dapat menangkis segala fitnah dan sentiasa relevan dalam
mendepani masalah masyarakat Malaysia.
Presiden PAS sangat tegas dengan
pendirian PAS berkenaan perjuangan menegakkan syariat Islam melalui
wasilah(jalan) demokrasi yang adil. Walaupun seringkali berhadapan dengan
demokrasi yang tempang, PAS tetap berazam dengan cita-cita murninya dalam
kerangka demokrasi dan perlembagaan negara. Dengan ciri Islam yang universal,
kita menerima segala kebaikan walaupun kebaikan itu dari Barat dengan tatanan
para ulama’ dalam berijtihad berkenaan penerimaan demokrasi di Malaysia dan
perlembagaan Malaysia yang terdapat cacat celanya tetapi boleh diubah mengikut
roh reformasi semasa..
Hadis Nabi Rasulullah s.a.w:
Kebijaksanaan adalah barang hilang kepunyaan orang mukmin, maka sesiapa orang
Islam yang mendapatinya maka ia lebih berhak untuk menggunakannya.
1) Melihat keadaan sekarang di
mana pelbagai isu berkenaan agama Islam di canang-canangkan bagi mendapat
sokongan rakyat. Maka, PAS dengan tegasnya berpendirian isu-isu agama yang
sarat dengan hukum syariatnya dan bersendikan rujukan Al-quran dan As-sunnah
perlu diurus sebaiknya mengikut lunas-lunas demokrasi bagi menjamin keharmonian
kebebasan beragama di Malaysia. Bukan
menjadi senjata untuk menimbulkan kesangsian sesama agama.
Sungguh jelas lagi bersuluh sepertimana usaha Kerajaan PAS Kelantan dalam
melaksanakan Hukum Hudud mengikut lunas-lunas demokrasi dan perlembagaan
negara. Setelah memenangi PRU 1991, kajian mendalam telah dilakukan
untuk digazetkan dalam undang-undang negeri. Keikhlasan PAS juga terserlah
dengan seminar yang dilaksanakan yang dijemput semua pihak dan pelbagai agama
untuk mendapatkan ‘feedback’ dari semua lapisan masyarakat dan menerangkan
sebarang ketidakfahaman mereka. Surat bekas Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz
juga telah diberi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir untuk
melaksanakan hudud tetapi bukan sokongan yang diberi bahkan ancaman yang
dilemparkan. Maka apa lagi yang PAS perlu lakukan? sila nyatakan dan jangan jadikan
bola tanggung untuk mengelirukan masyarakat dengan kekeliruan yang sedia ada.
Dalam mendepani permasalahan
masyarakat, Pas yang dipandu oleh majlis syura ulama’nya telah berijtihad
mengikut keadaan dan peredaran semasa seperti mana ijtihad penubuhan Dewan
Himpunan Penyokong Pas yang terdiri daripada golongan non-muslim dan gagasan
baru Negara Berkebajikan dan Pas For All. Pada hari ini kita melihat semakin
ramai non-muslim yang semakin mesra dengan Pas walaupun suatu masa dahulu Pas
sering disimbolikkan sebagai sebuah parti untuk golongan pak haji pakai kopiah
dan kita melihat bagaimana Pas sedikit sebanyak dapat memberi penerangan kepada
non-muslim berkenaan Islam sebenar berbanding Islam versi Umno. Justeru, PAS
menerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah dengan bantuan Dewan Ulama’, Pemuda dan
Muslimat mestilah menggembling tenaga bagi memikul amanah ini.
Seterusnya untuk memperlihatkan
kenasionalan PAS, saranan Presiden PAS perlu diambil perhatian oleh semua
pimpinan PAS agar pimpinan PAS mampu menguasai dinamika topik semasa seperti
perlembagaan negara, pentadbiran kerajaan, hak asasi manusia, sistem kewangan,
isu kewanitaan, alam sekitar dan kekeluargaan supaya dapat mengupas dengan
lebih terperinci dan dapat menjadikan retorik ‘PAS for all’ membumi kepada
seluruh rakyat.
2) Pendidikan adalah sesuatu
keperluan kepada setiap insan. Apatah lagi sebagai manusia yang dikurniakan
akal yang boleh berfikir dan membuat timbang tara antara baik dan buruk. Ibnu
Khaldun ada menyebut bahawa pendidikan adalah sebagai suatu proses persiapan
seseorang dari segi manusiawi mengikut ajaran Islam bagi menyuburkan potensi
iman, membentuk akhlak yang tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan ilmu,
menyediakan seseorang dari segi kemasyarakatan, persediaan untuk pekerjaan,
membentuk pemikiran dan juga menyesuaikan diri.
PAS sangat konsisten dalam
parlimen untuk mengkritik dan memberi timbang tara terhadap dasar-dasar
pendidikan negara. Dengan dasar-dasar
yang tiada pendirian yang tetap dan
sering berubah setiap kali perubahan menteri yang memegang portfolio
pendidikan. Seolah-olah pelajar dan guru adalah alat uji-kaji tanpa disedari
dan tidak dapat memanfaatkan potensi para guru dalam mendidik dengan disibukkan
dengan kerja-kerja perkeranian. Potensi para pelajar juga tidak dapat digilap
dengan sebaiknya. Tanpa perlu dibincangkan keberhasilan melahirkan para pelajar
yang beriman dan berakhlak mulia. Kita melihat orang Melayu Islam juga yang
menjadi juara di dalam pusat-pusat pemulihan ahklak.
PAS menuntut supaya :
a) Kerajaan Malaysia mestilah
memperakui hak asasi umat Islam dalam pendidikan dengan menerima sistem
pendidikan Islam sebagai salah satu sistem pendidikan arus perdana sekaligus
membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR).
b) Hak asasi manusia bagi semua
rakyat pelbagai kaum dalam negara hendaklah dijamin, di mana hak mana-mana kaum
untuk mendalami bahasa ibunda mereka mestilah diperkukuhkan supaya wujudnya
ruang terbuka bagi menambah kemahiran berbahasa dalam negara kita. PAS tidak
mahu dasar pembangunan pendidikan yang dilakukan terpisah daripada tradisi
budaya bangsa kerana matlamat pendidikan adalah untuk kebaikan manusia melalui
sifat ihsan mereka di samping menolak sifat melakukan kerosakan.
PAS secara konsisten
mempertahankan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang selama ini dipandang enteng oleh
kerajaan. Suara sumbang kerajaan, berkenaan PAS mengkhianati agama ibarat
meludah ke langit terkena batang hidung sendiri. Buktinya, Pengerusi Lajnah
Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik menyatakan ketiadaan peruntukan
untuk SAR membuktikan kefahaman kerajaan terhadap pendidikan Islam masih
terbatas dengan mengganggap ia sebagai mata pelajaran sahaja, bukan sebagai
institusi penting dan menyeluruh. Sementelahan itu, pada 11 Oktober 2012
memperlihatkan wakil pendidik dan pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) yang
mempunyai kesedaran yang jelas berkenaan kepentingan SAR telah berhimpun di
depan Dewan Parlimen bagi membantah pengabaian peruntukan kepada sekolah agama
dalam pembentangan Belanjawan Negara 2013 dan menuntut kerajaan menambah geran
bantuan perkapita yang sedia ada, bantuan modal, buku teks, bantuan guru
akademik dan bantuan-bantuan lain bagi melicinkan pentadbiran SAR.
Justeru itu, usaha PAS dalam
membantu pembangunan sekolah-sekolah agama rakyat melalui Majlis Kebajikan
& Pembangunan Pendidikan (MAKPEN) hendaklah disokong sepenuhnya. Dengan
keupayaan & kelebihan yang ada, ahli PAS perlu menjadi pendokong dalam
setiap peringkat institusi pendidikan agar transformasi & reformasi
pendidikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Seterusnya, PAS melihat Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 tidak memperlihatkan kesungguhan
kerajaan dalam menangani isu pendidikan ini apabila urusan ini diberi kepada
konsultan luar negara dengan kos RM20 juta. Seolah-olah orang asing yang
membentuk acuan pendidikan negara yang berbeza waqi’nya dan menggambarkan
ketidakpercayaan kerajaan terhadap anak nusa bangsa sendiri.
PAS juga menyarankan agar
institusi wajar diberikan autonomi yang
lebih dalam berbagai sudut tertentu sebagai contoh pemilihan Naib Canselor
dilantik oleh Mahaguru di universiti tersebut dan bukan dilantik oleh
Kementerian Pengajian Tinggi kerana mereka lebih mengenali keadaan dan
keperluan semasa di kampus tersebut. Bertujuan khusus untuk meningkat
kesarjanaan tulen dan bukan menjadi pengampu politik berselindung di sebalik jubah
akademik.
Penulis berharap sedikit sebanyak
pembaca dapat memahami hala tuju PAS dalam kerangka demokrasi selain dapat
menilai usaha-usaha murni dan pendirian
PAS dalam menangani isu-isu besar negara yang mempunyai perkaitan yang
sangat besar iaitu agama dan pendidikan. Dengan media massa arus perdana yang
sangat kejam terhadap PAS, maka penulis terpanggil untuk memberi sedikit
pencerahan berkenaan isu-isu penting negara.
Ruang mengkritik dan perbincangan
sangat terbuka luas dengan syarat beradab. Kaedah mengongkong serta mencantas
segala pendapat dan suara rakyat bakal membangkitkan kuasa rakyat. Maka, jangan
terlalu ‘asyik’ di atas pelamin kuasa.
No comments:
Post a Comment